Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang semakin galak menyerang Datuk Seri Abdul Hadi Awang gara-gara Presiden Pas itu menceritakan punca memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP.

Penasihat DAP itu nampak kurang senang dengan pendedahan Abdul Hadi bahawa parti cauvinis itu memusuhi agenda Islam diperjuangkan Pas.

“Peliknya, penjelasan seperti itu yang dibuat secara terbuka bukanlah kali pertama dibuat oleh Abdul Hadi.

“Sudah banyak dalam siri ceramah dan penulisannya, Presiden Pas menyatakan perkara tersebut,” kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, punca sebenar menyebabkan Kit Siang umpama cacing kepanasan adalah kerana selepas PRU14 dan beberapa siri pilihan raya kecil, orang Melayu, Islam mula menyedari agenda anti-Islam DAP dan semakin membenci parti itu.

Kata beliau, Kit Siang dan DAP tidak dapat menerima versi Islam sebenar yang menekankan pelaksanaan syariat dan menegaskan politik adalah sebahagian daripada agama.

“Sebaliknya, Kit Siang dan DAP lebih mesra Islam Moderat sebagaimana dakwaan beliau iaitu satu pemikiran jelmaan pemikiran Islam ala Amerika.

“Sebab itu, apabila Presiden Pas menjelaskan mengenai kepemimpinan Islam dan kepentingan Islam berkuasa, dan mengajak orang Islam mengundi calon beragama Islam yang baik, Kit Siang berterusan menyerang Abdul Hadi.

“Sedangkan, para ulamak dan cendekiawan Islam menjelaskan dan orang Islam memahami bahawa Islam Moderat adalah versi Islam yang mendokong demokrasi total termasuk pluralisme dan hak asasi manusia secara mutlak,” katanya.

Ujar beliau, Islam Moderat juga menolak konsep negara Islam dan penguatkuasaan undang-undang syariah, mendokong idea kesamarataan gender, bersetuju Islam tidak wajar dianggap lebih tinggi berbanding agama lain dan mempertahakan kebebasan untuk keluar meninggalkan Islam.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Kit Siang kerana akhirnya mengaku sendiri beliau memang anti-Islam yang sebenar dan mesra Islam Moderat tajaan Amerika Syarikat,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.