Imej kereta F1 baharu 2019 yang diperkenalkan pasukan Haas semalam di New York

NEW YORK – Haas merupakan pasukan pertama yang memperkenalkan kepada umum imej kereta lumba Formula Satunya (F1) bagi musim 2019.

Syarikat yang berpengkalan di Amerika Syarikat itu menyiarkan  foto jentera baharunya, VF-19.

Ia akan didedahkan untuk tatapan umum bermula sesi ujian pra musim bermula 18 Februari ini.

Haas berazam untuk memperbaiki pencapaian mereka musim lalu selepas menamatkan saingan F1 pada tempat kelima.

Kevin Magnussen, pelumba paling berjaya pada musim lalu berkata: “Kami tidak tahu kedudukan pasukan lain tetapi kami mempunyai harapan tinggi untuk mara ke hadapan,”.

Haas tampil bergaya dengan jentera serba hitam dan emas selepas mengikat kerjasama dengan penaja baharu pengeluar minuman, Rich Energy.

Pengerusi pasukan bola sepak, West Ham United David Sullivan merupakan antara pemegang saham jenama minuman itu.

Ketua Pasukan Haas, Gunther Stener berkata, pihaknya yakin memiliki kereta yang sempurna untuk memberi persaingan terkuat F1 musim ini.

Secara teknikal, Haas menggunakan enjin perlumbaan Ferrari menerusi kolaborasi pembangunan bersama pasukan Scuderia yang berpangkalan di Itali, sekali gus menjangkakan mampu memberi cabaran sengit kepada Lewis Hamilton dan pasukan Red Bull.

Sebelum ini aksi luar biasa Haas pada musim lalu dipertikaikan kebanyakan pasukan F1 termasuk Red Bull dan Mercedes.

Pasukan-pasukan F1 itu meminta jawatankuasa F1 menyiasat Haas yang menggunakan enjin Ferrari sejak beberapa musim lalu mempamerkan aksi menakjubkan dalam masa singkat menimpulkan mencurigakan kebanyakan pasukan lain. – MalaysiaGazette