Dr. Mujahid Yusof
Mujahid Yusof

PUTRAJAYA – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyifatkan tujuh bekas Ahli Parlimen UMNO yang diterima masuk dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum suci daripada tindakan yang dilakukan sebelum ini.

Beliau yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkata, kesemua mereka bukan terus menjadi ‘malaikat’ dan telah dibersihkan sebaik sahaja menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH)

“Pertama mereka kena yakin dengan apa yang diperjuangkan oleh PH, tidak memiliki motif lain hingga dipersoalkan orang ramai.

“Ini tidak bermakna mereka masuk PH, telah suci dan dibersihkan menjadi malaikat dengan apa yang dibuat dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan cek sebanyak RM50 juta kepada sekolah tahfiz berdaftar negara ini yang disampaikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Ditanya kedudukan salah seorang Ahli Parlimen itu, Datuk Shabudin Yahaya yang pernah mencetuskan kontroversi mengenai isu rogol, Mujahid berkata, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu perlu yakin dengan perjuangan PH.

“Mereka perlu tiada kepentingan lain dan ingin menjadi bersih.

“Bersatu mungkin sudah buat penelitian asas sebelum menerima tujuh ahli parlimen ini asal mereka tahu maksud asas sebab apa lompat parti,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Tujuh ahli UMNO akhirnya diterima masuk Bersatu

TERKINI : UPACARA LOMPAT PARTI! Tujuh Ahli Parlimen Masuk PPBM