KUALA LUMPUR – Kesemua isu berkaitan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) termasuk pembayaran kepada kontraktor telah diselesaikan.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd., Ang Yoke Kee enggan menjawab bilakah kerja-kerja pembinaan LRT 3 akan disambung semula.
“Program hari ini adalah hanya mengenai sambutan Tahun Baharu Cina sahaja.
“Sebarang kenyataan lain akan dibuat dalam acara berasingan tetapi apa yang boleh saya kataka semuanya bagus,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan persembahan tarian singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina di stesen LRT Pasar Seni hari ini.

Kerja-kerja pembinaan LRT 3 terpaksa ditangguhkan tahun lepas apabila kerajaan bertindak untuk menyemak semula projek dan meminta supaya kosnya dikurangkan.
Pembinaan jajaran ketiga LRT yang sepanjang 37 kilometer itu telah bermula lebih setahun setengah yang lalu.
Bulan lepas Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) dan George Kent Bhd. menandatangani kontrak perjanjian harga tetap dengan Prasarana untuk kerja-kerja mereka, membina dan pentauliahan LRT 3 dari Bandar Utama ke Johan Setia di Kelang, Selangor.
MRCB dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak harga tetap itu untuk kerja-kerja mereka, membina dan pentauliahan LRT3 dari Bandar Utama ke Johan Setia di Klang. -MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:
MRCB-GK dapat kelulusan sambung semula LRT3
LRT3: Spesifikasi disemak semula mampu tampung permintaan, tepati piawaian
Negara ini tidak mampu untuk membiayai projek LRT3 – Guan Eng
















