Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu 
Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu 

IPOH – Pemilihan sebuah syarikat untuk melaksanakan projek pembangunan ladang hutan seluas 400 hektar di dua lokasi berbeza di Perak tidak melalui proses tender terbuka.

Sebaliknya, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pemilihan syarikat tersebut dibuat oleh Pasukan Bertindak Jawatankuasa Perhutanan yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Katanya jawatankuasa tersebut dianggotai Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi serta Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Paul Yong Choo Kiong.

“Pengarah syarikat tersebut mempunyai pengalaman luas dalam mengusahakan ladang hutan dan syarikat juga berkemampuan, jadi ia kukuh untuk kita berikan kelulusan (projek),” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan penambahbaikan Dasar Perumahan Negeri Perak di sini, hari ini.

Ahmad Faizal mengulas kenyataan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang mempertikaikan kelulusan permit projek pembangunan ladang hutan itu di Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta Manjung.

Selain itu, Ahmad Faizal menjelaskan projek yang dilaksanakan di kedua-dua kawasan tersebut tidak melibatkan sebarang penebangan pokok, sebaliknya bertujuan menanam semula pokok.

Mengenai tindakan Anggota Parlimen Kampar Thomas Su Keong Siong membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Isnin lalu berhubung kelulusan permit berkenaan, Ahmad Faizal menarik perhatian dengan berkata :”Fantastik. Apa yang beliau lakukan adalah untuk SPRM menjalankan siasatan.

Tambahnya tindakan Anggota Parlimen dari DAP itu tidak bertentangan dengan semangat Pakatan Harapan, malah Thomas Su telah merujuk kepadanya terlebih dahulu sebelum membuat laporan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast