Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri diminta menyiasat bagaimana sebuah syarikat nombor ramalan boleh menaja lawatan sambil belajar pegawai-pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Turki.

Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Dalam Negeri tidak boleh lepas tangan mengenai isu berkenaan kerana ia membabitkan integriti polis dan kerajaan.

Lagipun, lawatan berkenaan di bawah pengetahuan Muhyiddin.

Veteran UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, tajaan lawatan pegawai-pegawai PDRM ke Turki untuk mempelajari aktiviti atas talian tetapi ditaja oleh syarikat judi adalah pelik.

“Di mana intergriti Polis? Di mana pula intergriti Kerajaan. Guan Eng berbangga kerajaan tidak keluar duit sekupang pun,” kata beliau.

Tajaan itu, kata Mohd Puad boleh mewujudkan konflik kepentingan yang mana syarikat nombor ramalan itu mempunyai pengaruh dalam agensi penguatkuasaan sensitif seperti PDRM.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengakui lawatan sambil belajar polis diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke Turki dibayar oleh syarikat loteri Da Ma Cai.

Katanya, walaupun lawatan itu diluluskan Lembaga Totalisator, sebuah agensi bawah Kementerian Kewangan tetapi bukan daripada dana kerajaan.

Sumber dana daripada Da Ma Cai, sebuah syarikat ramalan nombor. Mereka tidak dapat sesen daripada kita,” katanya kepada pemberita di Putrajaya semalam.

Lembaga Totalisator ditubuhkan di bawah Akta Perlumbaan (Lembaga Totalisator) 1961 untuk mengawal dan menyelia semua perjudian lumba kuda di Malaysia. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: KPN ditaja ke Turki: Sumber dana Totalisator dari syarikat nombor ramalan

TERKINI : SYARIKAT NOMBOR RAMALAN! Ketua Polis Negara Ditaja ke Turki?

Kunjungan KPN ke Turki kerana tugas – Muhyiddin