Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – Ringgit mencatatkan prestasi yang lebih baik setakat ini pada tahun ini, naik 1.5 peratus berbanding dolar US, walaupun prospek kurang memberangsangkan dijangka pada masa depan berikutan mata wang luar akan terus mempengaruhi prestasi ringgit.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus menjelaskan, ringgit susut 1.8 peratus berbanding dolar US pada 2018, sejajar dengan kebanyakan mata wang serantau.

“Penyusutan ringgit kurang berbanding dolar US berbanding kebanyakan mata wang serantau,” katanya pada pengumuman mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun penuh 2018 dan pertumbuhan suku keempat di sini hari ini.

Shamsiah berkata, ketidaktentuan mengenai normalisasi dasar monetari AS dan prospek pertumbuhan global yang rendah antara faktor yang akan memberi impak kepada prestasi ringgit.

Mengulas mengenai hutang luar Malaysia, katanya sehingga akhir suku keempat 2018, hutang luar negara terdiri daripada 44 peratus hutang jangka pendek dan 56 peratus hutang jangka sederhana hingga jangka panjang.

“Hampir satu pertiga daripada hutang luar dalam denominasi ringgit, di mana 31 peratus daripada hutang negara dalam denominasi ringgit, manakala baki 69 peratus adalah hutang dalam mata wang asing,” katanya.

Shamsiah berkata, rizab Malaysia mencukupi dan negara mempunyai mata wang asing-aset cair yang mencukupi untuk memenuhi obligasi hutang luar.

“Lihat kepada jumlah rizab negara, dan kita mempunyai rizab berpusat dengan BNM dan rizab tidak berpusat.

“Kami juga telah memulakan langkah untuk menggunakan pertukaran asing kami, dan ini, dengan jumlah rizab kumulatif negara, aset mata wang asing kita cukup untuk menampan impak daripada ringgit yang lemah,” katanya.

Hutang luar negara dalam mata wang asing pada suku keempat 2018 terdiri daripada pinjaman antara bank sebanyak 31.6 peratus, deposit pemastautin (7.3 peratus), pinjaman antara syarikat (16 peratus), kredit perdagangan (lapan peratus), bon dan nota (24 peratus) dan lain-lain (13 peratus). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast