Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Buka sahaja mana-mana platform atas talian, berapa ramai rakyat negara ini menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap prestasi kerajaan hari ini.

Kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beberapa hari lalu, beliau turun ke kampung bertanyakan ekonomi semasa penduduk.

Jelas beliau, 100 peratus daripadanya berkata, mereka hampa dan kecewa.

“Saya tiada duit lagi kalau nak banding dulu, getah dan sawit turun, pendapatan kami kecil. Pelanggan pula kurang, pendapatan meleset,” katanya menceritakan keluhan penduduk kampung.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, apa yang diluahkan itu tidak termasuk kesengsaraan penduduk bandar yang menyebabkan kuasa membeli menjadi semakin mengecil.

“Harga barang tidak turun seperti yang Pakatan Harapan (PH) janjikan. Dulu mereka berjanji hapuskan tol, namun tinggal janji.

“Dulu mereka berjanji tak perlu bayar PTPTN hingga gaji RM4,000, namun tinggal janji.

“Di atas apa yang berlaku pada rakyat Malaysia hari ini, wajarkah kita beri peluang sekali lagi kepada PH di Semenyih?” soal beliau dalam kenyataan hari ini.

Kata Ismail Sabri, beliau tidak merasakan rakyat akan memberi kemenangan kepada PH, malah rakyat akan suarakan kekecewaan mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih 2 Mac ini.

“Rakyat Semenyih bukan lagi alat yang boleh diperkotak-katikkan oleh mereka yang hanya mahukan kuasa,” tegasnya. – MalaysiaGazette