Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka didagangkan tinggi minggu depan, menjejaki pasaran tunai yang diunjurkan kukuh, dipacu oleh pengukuhan ringgit, harga komoditi dan asas ekonomi kukuh.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata,  FBM KLCI dijangka meneruskan aliran meningkat yang bermula sejak 18 Dis tahun lepas di sebalik faktor luaran yang tidak menentu.

“Disebalik kebimbangan geopolitik global, pasaran tempatan meneruskan aliran meningkat bagi tempoh hampir dua bulan pada paras sokongan kritikal melepasi 1,700 mata,” katanya kepada Bernama.

Nazri Khan berkata, pasaran juga akan dipengaruhi oleh hasil perbincangan perdagangan Amerika Syarikat-China.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran niaga hadapan FBM KLCI perlahan berikutan pasaran tunai yang kurang memberangsangkan.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, Februari 2019 dan March 2019 masing-masing naik 3.5 mata kepada 1,686.5 dan 1,681.5, Jun 2019 menokok lima mata kepada 1,675 dan September 2019 melonjak 7.5 mata kepada 1,669.5.

Jumlah dagangan bagi minggu ini meningkat kepada sebanyak 23,081 lot daripada 1 3,156 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 24,948 kontrak daripada 25,777.

FBM KLCI ditutup 2.31 mata lebih tinggi kepada 1,688.83 pada Jumaat daripada 1,686.52 pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette