Keputusan kerajaan untuk menamatkan moratorium perlombongan bauksit mulai 1 April, menerima reaksi berbeza dari kalangan para pemain industri dan orang ramai di sini. - foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM

KUANTAN – Keputusan kerajaan untuk menamatkan moratorium perlombongan bauksit mulai 1 April, menerima reaksi berbeza dari kalangan para pemain industri dan orang ramai di sini.

Kalangan pemain industri mengalu-alukan keputusan tersebut dan menyatakan rasa lega setelah penantian mereka selama tiga tahun berakhir manakala orang ramai pula melahirkan kebimbangan mereka terhadap kesan sampingan aktiviti perlombongan itu.

Naib Presiden Persatuan Pengeluar Mineral Pahang Datuk Yap Soon Huat memberi jaminan bahawa semua anggota persatuan itu sanggup mematuhi prosedur operasi standard (SOP) baharu yang akan diperkenalkan oleh Kabinet.

“Bagi saya, menamatkan moratorium adalah keputusan yang baik. Menteri telah melawat tapak perlombongan ini (semalam) dan melihat potensi bagaimana industri ini dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di Kuantan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Yap menambah anggota persatuan itu telah bersetuju untuk menandatangani memorandum untuk mengawal selia aktiviti perlombongan untuk memastikan ia tidak membahayakan persekitaran, di mana ini menjadi sebab musabab pelaksanaan moratorium itu pada 15 Jan 2015.

“Kami sanggup membantu kerajaan menangani kegiatan perlombongan haram, yang merupakan punca sebenar masalah sebelum ini. Selepas aktiviti disambung semula, kami akan mengumpulkan bukti mengenai perlombongan haram, jika ada dan serahkan kepada agensi penguatkuasaan untuk tindakan yang perlu, “katanya.

Yap juga melihat keputusan kerajaan untuk mengenakan denda sebanyak RM500,000 dan penjara sehingga tiga tahun kepada mereka yang gagal mematuhi SOP baharu, sebagai ‘motivasi untuk mereka bertindak mengikut peraturan’.

Media hari ini melaporkan bahawa Menteri Sumber Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar mengatakan bahawa moratorium perlombongan bauksit yang berakhir pada 31 Mac tidak akan dilanjutkan, sambil menambah bahawa industri bauksit menerima permintaan yang kukuh dan menguntungkan, dengan negeri Pahang menerima kira-kira RM47 juta dalam bentuk royalti pada tahun 2015.

Sementara itu Presiden Persatuan Pengusaha-pengusaha Bijih Besi Pahang Datuk Seri Tengku Zulkifli Tengku Ahmad melihat perlombongan bauksit sebagai boleh menjana hasil kepada kerjaan negeri dan penduduk setempat, namun ia perlu dilakukan secara seimbang.

Menurutnya, kerajaan perlu melihat kepada keperluan laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi memastikan aktiviti itu tidak lagi mencemarkan alam sekitar selain memerlukan penerangan yang lebih jelas tentang SOP baharu tu.

“Setakat ini menteri hanya memberitahu hanya bauksit yang dicuci akan dieksport, namun bagaimana dengan kawalan sisa bauksit setelah dicuci… ini yang perlu diperjelaskan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bauksit Bukit Goh Datuk Dr Abd Wahid Abd Manap juga turut bersetuju dengan keputusan menamatkan moratorium dan berpandangan kerajaan perlu memastikan kaedah baharu yang memberikan situasi menang-menang kepada tiga pihak.

Pihak terlibat ialah mereka yang terlibat dalam perlombongan, kerajaan menerusi pungutan hasil dan juga masyarakat sekitar supaya mereka tidak lagi terganggu dengan aktiviti tersebut.

“Keputusan ini memang dinantikan terutamanya kepada mereka (peneroka) yang telah menebang pokok sawit, namun tidak dapat meneruskan perlombongan kerana moratorium… sekurang-kurangnya ini membantu mereka mengukuhkan kembali sumber kewangan.

“Saya juga berpandangan semua pihak telah belajar daripada pengalaman lalu dan tidak mahu moratorium dikenakan semula. Pelabur juga telah mengeluarkan modal yang besar dan tentu mereka lebih hargai peluang ini,” katanya.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Lee Chean Chung pula menggesa kerajaan supaya berunding dengan masyarakat setempat dan pihak berkepentingan tentang SOP sebelum melaksanakannya, bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap isu itu.

Beliau berkata, ini adalah kerana perlombongan bauksit telah menjadi kontroversi ekoran amalan terdahulu yang tidak dikawal selia dan tidak mampan, sehingga menyebabkan kemerosotan alam sekitar dan kemerosotan kualiti hidup yang sukar dipulihkan sehingga ke hari ini.

“Kegiatan perlombongan haram yang tidak mempunyai Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) berleluasa manakala pemulihan tapak perlombongan tidak dijalankan. Akibatnya rakyat yang sepatutnya mendapat manfaat daripada kegiatan ekonomi ini hidup menderita,” katanya.

Sementara itu, ADUN Beserah Andansura Rabu berkata kerajaan seharusnya memaklumkan tentang SOP baharu terlebih dahulu, menerangkan tindakan yang telah diambil sepanjang tiga tahun pelaksanaan moratorium dan mengatasi masalah kekurangan pegawai yang menyebabkan penguatkuasaan agak lemah.

“Apa jaminan kerajaan bahawa masalah pencemaran sebelum ini tidak akan berulang… Kita juga tidak mahu berlaku percanggahan bidang tugas agensi penguatkuasaan supaya tidak saling menunding jari apabila berlaku masalah kerana kita tidak mendengar alasan yang sama,” katanya.

— BERNAMA