Sekitar kawasan penempatan yang menjadi laluan utama lori yang membawa muatan bauksit semasa tinjauan lensa MalaysiaGazette.

KUANTAN – Biarpun kegiatan perlombongan bauksit akan diteruskan pada 1 April nanti dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat, namun Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh masih ragu ia mampu untuk menghalang pencemaran daripada berlaku seperti yang pernah terjadi sebelum moratorium dikenakan 15 Jan 2015.

Fuziah berkata terdapat beberapa kelompangan yang ketara terutama dalam soal laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) di tapak perlombongan bauksit kerana sebelum ini hanya satu laporan disediakan untuk keseluruhan 3,642 hektar kawasan perlombongan di negeri ini.

“Di dalam kertas penambahbaikan industri bauksit di Pahang pada 2016, laporan ini telah mencadangkan agar satu laporan EIA perlu dilakukan untuk setiap satu kawasan perlombongan bauksit.

“Sehubungan itu, satu pindaan Enakmen Mineral Negeri Pahang perlu dilakukan untuk memastikan tiada keluasan minimum yang diperlukan kawasan perlombongan bauksit ini untuk laporan EIA.

“Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang pindaan yang dilakukan terhadap enakmen itu dan ini menimbulkan kerisauan saya kerana saya tidak nampak bagaimana hanya satu EIA dilakukan untuk kawasan perlombongan yang luas di daerah ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

MGF23112018_FUZIAH RASMI BUTIK AISHAH08
Fuziah Salleh

Beliau berkata laporan EIA diperlukan untuk setiap kawasan perlombongan kerana setiap kawasan persekitaran itu berbeza, ada kawasan yang perumahan padat dengan penduduk, ada kawasan tadahan air, hulu muka sauk serta kawasan hutan yang sekali gus memerlukan kajian impak yang khusus.

Fuziah, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, turut menyuarakan kekhuatiran terhadap SOP baharu nanti yang dilaporkan hanya membenarkan bauksit yang telah diproses untuk dieksport.

“Bauksit ini mengandungi logam berat dan apabila diproses, air cucian itu akan memasuki sungai-sungai berhampiran terutama sekali kawasan Bukit Goh kerana kita tahu ia terletak di kawasan hulu sauk Loji Rawatan Air Semambu.

“Kita perlu ingat semasa 2015 dahulu air sungai kita bertukar dari kelas tiga kepada kelas lima iaitu tercemar dengan logam berat dan ini boleh menimbulkan implikasi kesihatan kepada penduduk setempat bukan sahaja untuk jangka masa pendek tetapi juga masa panjang,” katanya

Sehubungan itu, beliau meminta supaya kerajaan agar segera mempamerkan SOP baharu untuk perlombongan bauksit itu sebelum tempoh moratorium tamat pada 31 Mac ini.

Ia bukan sahaja untuk diteliti oleh pemain industri, kakitangan dan agensi kerajaan yang terlibat, tetapi juga orang ramai kerana mereka menerima kesan secara langsung daripada aktiviti itu.

Beliau turut meragui keberkesanan penguatkuasaan yang akan dijalankan bagi memantau aktiviti perlombongan itu nanti terutama perlombongan haram walaupun kerajaan dilaporkan akan mengenakan hukuman yang berat terhadap mereka yang melanggar SOP yang ditetapkan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar pada Isnin lepas mengumumkan tempoh moratorium untuk aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit tidak akan dilanjutkan dan akan dibenarkan beroperasi semula pada 1 April ini.

Berikutan itu satu SOP baharu serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat akan dilakukan untuk mengelakkan berlakunya pencemaran seperti yang terjadi sebelum ini dan mereka yang ingkar boleh dikenakan denda RM500,000 dan tiga bulan penjara mengikut Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001.

Xavier dalam lawatannya ke beberapa tapak perlombongan bauksit di daerah ini pada hari berkenaan juga memaklumkan kebanyakan tapak perlombongan berkenaan telah bersedia kemudahan memproses dan mencuci bauksit sebelum ia dibawa ke pelabuhan untuk dieksport.

— BERNAMA