SEMENYIH – Kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menunaikan janji memansuhkan tol menjadi troll terbaharu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam lawatan kali ketiga ke Semenyih sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, Najib mendakwa beliau masih terpaksa membayar tol walaupun PH telah mentadbir Putrajaya selama 10 bulan.

“Saya ingat tidak perlu lagi bayar tol sebab sudah dimansuhkan tapi saya kena bayar RM2.10 jugak.

“Maknanya apa, tol masih lagi dikenakan kepadanya pengguna jadi janji mereka (PH) sampai hari ini tidak dilunaskan,” katanya sambil menunjukkan kad Touch and Go sebaik keluar dari Plaza Tol Putra Mahkota, Semenyih hari ini.

Najib tiba di Semenyih dalam siri kempen PRK kawasan itu.

Ahli Parlimen Pekan itu merujuk kepada kenyataan beberapa pemimpin PH berhubung isu tol baru-baru ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis lalu memberitahu, kerajaan PH akan mengumumkan berita gembira berkaitan tol dalam masa terdekat.

Semalam, Menteri Kerja Raya, Baru Bian pula berkata, kajian yang dijalankan oleh perunding bebas mengenai isu tol di negara ini masih berjalan dan dijangka siap hanya pada Mei.

Bagaimanapun Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilihat menepis kenyataan itu dengan berkata, kerajaan masih menunggu masa yang sesuai hapus tol memandangkan hutang negara masih RM1 trilion.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, PH menerusi manifestonya berjanji mahu menghapuskan kutipan tol secara berperingkat di seluruh negara sekiranya menang pilihan raya itu.

Pemansuhan tol antara 10 janji PH yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari setelah mengambil alih Kerajaan Persekutuan dan ia terkandung di dalam Buku Harapan. -MalaysiaGazette