KUALA LUMPUR – Konsert kumpulan terkemuka Korea, Blackpink yang berlangsung di Stadium Tertutup Malawati di Shah Alam semalam kini mengundang persoalan netizen.

Ini kerana konsert yang dihadiri kira-kira 8,000 penonton bermula pukul 6.30 petang dan tamat pukul 8.30 malam.

Ini menimbulkan pertanyaan netizen buat penonton beragama Islam yang hadir bagaimana mereka menunaikan solat Maghrib.

Komen-komen netizen mula dilemparkan kepada pihak penganjur kerana tidak menghormati sentiviti negara ini yang majoriti orang Islam dan kenapa tidak memulakan konsert selepas waktu Maghrib.

Sementara itu, penonton bagaikan diserang histeria terutama peminat tegar yang menggelarkan diri mereka Blink itu terus teruja apabila empat tunjang utamanya muncul memanaskan pentas bersama lagu berhantu kumpulan terbabit, Ddu-Du Ddu-Du bagi memulakan Konsert Blackpink In Your Area Kuala Lumpur.

Mereka menyanyikan hampir 20 dendangan termasuk lagu popular penyanyi lain, persembahan Jisoo, Jennie, Lisa dan Rose nyata membuatkan adrenalin penonton terus memuncak sepanjang dua jam mereka beraksi.

Bukan sekadar pilihan lagu dan tarian, setiap elemen meliputi penataan pentas, sistem pencahayaan, mainan grafik hingga kesan khas membabitkan bunga api dan asap menggandakan keterujaan khalayak.

Malah, kemunculan Blackpink yang juga sinonim sebagai ikon fesyen nyata memenuhi jangkaan apabila tampil bertenaga, menghiburkan dan bijak memanipulasi pentas bersama aksi comel mereka.

Penonton yang hadir sanggup mengeluarkan wang antara RM370 hingga RM700 bagi menjadi sebahagian daripada sejarah kemunculan pertama kumpulan berkenaan di negara ini. – MalaysiaGazette