Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto SYAFIQ AMBAK, 06 FEBRUARI 2019

PORT DICKSON – Pelan Pembangunan Port Dickson akan mengalami sedikit pengubahsuaian ekoran terdapat beberapa projek besar yang baharu membabitkan sektor pelancongan dan infrastruktur, kata Anggota Parlimennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, perkara itu telah dipersetujui Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Menteri Besar, Exco dan Yang Dipertua (Majlis Perbandaran Port Dickson) akan memberikan ruang sepenuhnya untuk diberikan input walaupun dah hampir tamat (untuk dimuktamadkan),” katanya kepada pemberita selepas sambutan perayaan Ponggal 2019 peringkat Parlimen Port Dickson di Bandar Springhill dekat sini, hari ini.

Pelan Induk Port Dickson merupakan sebuah program pembangunan komprehensif khusus bagi menangani pelbagai permasalahan berkaitan isu alam sekitar dan setempat di kawasan Parlimen itu, yang mengadunkan pelan pembangunan secara holistik, mesra alam dan mampan.

Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lepas menolak rayuan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 November lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau di kerusi DUN Rantau sebagai tidak sah dan terbatal.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira setengah jam beramah mesra dengan 50 masyarakat India pada majlis itu di Bandar Springhill, Lukut. – Bernama