Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata nilai itu lebih tinggi berbanding jualan dana asing pada minggu sebelumnya bernilai RM13.6 juta bagi tempoh 23-26 Sept.

KUALA LUMPUR – Saham-saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi pada dagangan awal hari ini, menjejaki prestasi Wall Street yang lebih kukuh pada Jumaat lepas.

Pada 9.20 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.12 mata kepada 1,721.54 daripada 1,721.42 sebelum ini.

Indeks penanda aras itu menokok 0.92 mata kepada 1,722.34 sewaktu dibuka hari ini.

Dalam nota penyelidikannya, JF Apex Research optimis FBM KLCI mampu mencecah paras rintangan pada 1,740 mata berikutan faktor luaran yang menyaksikan prestasi di Amerika Syarikat dan Eropah yang lebih positif.

“Pasaran AS meningkat pada hari Jumaat berikutan keyakinan terhadap potensi pusingan baharu rundingan dagangan dengan China. Sebelum itu, saham Eropah turut meningkat menjelang pertemuan pemimpin AS dan China itu,” katanya.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 223 berbanding 166 manakala 229 kaunter tidak berubah, 1,247 tidak diniagakan dan 34 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 390.51 juta saham bernilai RM221.36 juta.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Petronas Chemicals dan Hong Leong Bank masing-masing meningkat lapan sen kepada RM9.11 dan RM21.30 manakala Maybank, TNB, CIMB dan Maxis tidak berubah masing-masing pada RM9.54, RM13.44, RM5.84 dan RM5. 51.

Public Bank rugi dua sen kepada RM24.96, IHH Healthcare susut satu sen kepada RM5.79 dan Axiata merosot 14 sen kepada RM4.11.

Bagi saham aktif, Dayang Enterprise meningkat 19.5 sen kepada 99 sen, Perdana Petroleum naik empat sen kepada 33 sen, Sapura Energy menokok satu sen kepada 32.5 sen, Bumi Armada menambah setengah sen kepada 20.5 sen dan Naim Holdings naik 10.5 sen kepada 85 sen sen.

Indeks FBM Emas berkurangan 18.16 mata kepada 11,984.34, Indeks FBM Emas Shariah susut 35.50 mata kepada 11,917.61 dan FBMT 100 turun 19.94 mata kepada 11,838.94.

Bagi Indeks FBM Ace, ia menokok 19.52 mata kepada 4,735.0 namun FBM 70 merosot 109.73 mata kepada 14,305.73.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 12.76 mata pada 17,853.48, Indeks Perladangan susut sebanyak 12.41 mata kepada 7,400.69 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 0.86 mata kepada 168.89.

— BERNAMA