KUALA LUMPUR- Kerajaan terpaksa mengenakan had plot ratio bagi memastikan bangunan-bangunan tinggi tidak terlalu banyak dibina di Kuala Lumpur, jelas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.
Katanya, meskipun berita itu tidak menggembirakan para pemaju namun kerajaan terpaksa mengambil tindakan tersebut kerana menyedari isu lebihan ruang pejabat di bandaraya ini masih belum selesai.
“Plot ratio dihadkan kepada 1:10 dan meskipun tidak diterima baik oleh pemaju kerana mereka mahu membina bangunan-bangunan yang lebih tinggi tetapi kami merasakan nisbah tersebut sesuai buat masa sekarang kecuali bagi kes-kes tertentu.
“Ini kerana kerajaan tidak mahu membenarkan pembinaan terlalu banyak bangunan-bangunan tinggi, kami sedar isu lebihan penawaran (hartanah) masih ada,” katanya semasa sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Greater Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hari ini.
Baru-baru ini, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Kuala Lumpur menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan had plot ratio kepada pembangunan hartanah.
Menurut Rehda, tindakan tersebut adalah tidak adil kepada pemaju yang melabur pada tanah yang telah diluluskan untuk bangunan tinggi terutamanya di sekitar laluan MRT.
Ini juga menurut mereka akan menyebabkan nilai tanah jatuh dan keyakinan pelabur akan hilang.
Mereka juga merayu supaya kerajaan meletakkan semula plot ratio yang telah diluluskan dalam Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2040 sebelum ini. – MalaysiaGazette