SEMENYIH – Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) perlu memainkan peranannya sebagai sebuah NGO tanpa perlu berlagak menjadi ‘hero politik’ menyebelahi pembangkang.
Bekas Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, Presiden Perkasa, Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali tidak perlu menunjukkan dirinya hebat meskipun dirinya sebelum ini merupakan ahli politik
“Kalau dia NGO buatlah kerja NGO.. Ini dia cuba kritik kerajaan. Bila dia sentuh Pakatan Harapan (PH) bermakna dia ‘cubit’ saya,” katanya kepada Malaysia Gazette di sini hari ini.
Abu Bakar ditemui pada Program Jalinan Silaturahim Bersama NGO Penyerahan Borang Keahlian Bersatu di Taman Pelangi Semenyih hari ini.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Ibrahim yang sejak kebekalangan ini mengkitik kerajaan PH dan mengisytiharkan sokongan kepada Barisan Nasional dalam PRK DUN Semenyih.
Ibrahim sebelum ini menolak keras gabungan politik PH selepas gagal menunaikan janji dalam tempoh 100 hari setelah berjaya membentuk kerajaan.
Mengulas lanjut, bekas Ahli Dewan Tertinggi Perkasa itu memberitahu, adalah tidak wajar bagi bekas ‘bosnya’ itu mengeluarkan kenyataan yang sering mengelirukan orang ramai dengan bertopengkan tiket NGO.
Katanya, peranan Perkasa dilihat seolah lari daripada matlamat sebenar ia tubuhkan untuk membela Bangsa Melayu dan bumiputera gara-gara perbuatannya presidennya sendiri.
“Sudah-sudahlah cakap padanya (Ibrahim) nak hentam kami PH. Rakyat dah tolak kerajaan dulu secara total, tak perlulah Perkasa nak jadi champion (juara) pula nak bela parti yang dah tumbang,” ujarnya lagi.
Pada PRU-14, Ibrahim kalah teruk sehingga hilang deposit selepas hanya memperoleh 5,800 undi berbanding calon PAS, Ahmad Fadli Shaari yang mendapat 28,080 undi dan calon BN, Nor Azmawi Ab Rahman (15,005 undi) di kerusi Parlimen Pasir Mas. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/19/perkasa-isytihar-sokong-calon-bn/