KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US pada pagi ini, didorong oleh permintaan lebih baik berikutan sentimen pasaran tempatan yang positif, kata peniaga.

Pada 9 pagi ini, ringgit disebut harga pada 4.0620/0660 berbanding 4.0760/0810 yang dicatatkan pada Jumaat.

Seorang peniaga berkata pelabur memberi reaksi terhadap data Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia yang positif sebagaimana diumumkan pada Jumaat lepas.

Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan itu menunjukkan IHP susut pada Januari lepas iaitu yang pertama dalam hampir satu dekad dengan indeks keseluruhan turun 0.7 peratus pada bulan itu kepada 120.5 berbanding dengan 121.3 pada tempoh sama 2018.

Sementara itu, ringgit kebanyakannya mengukuh berbanding kelompok mata wang global lain kecuali pound Britain.

Unit tempatan itu susut berbanding pound Britain kepada 5.3078/3147 daripada 5.3065/3135 dan lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.6674/6720 daripada 3.6770/6825 pada Jumaat.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0091/0132 daripada 3.0119/0165 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6079/6141 daripada 4.6214/6287, sebelum ini.

— BERNAMA