Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berucap pada Ceramah Umum sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Jalan Bangi Lama, Sungai Purun, Semenyih. foto SYAFIQ AMBAK, 25 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Penglibatan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan bekas seterunya, Lim Kit Siang adalah lebih pelik daripada kerjasama Pas dengan Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasruddin Hasan Tantawi berkata, rekod pergaduhan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) pada hari ini adalah lebih teruk daripada pergaduhan Pas dan UMNO dalam arena politik negara.

“Kalau nak rasa pelik lagi, macam mana Tun Mahathir boleh terima Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dia boleh pula terima Dr Mahathir, ini lagi pelik.

“Rekod gaduh lebih teruk daripada gaduh UMNO dan Pas, tapi kenapa mereka boleh bekerjasama?

“Apa yang Tun Mahathir tidak kata kepada Lim Kit Siang, apa yang Lim Kit Siang tidak kata kepada Tun Mahathir,” katanya dalam  Ceramah Umum sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Jalan Bangi lama, Sungai Purun, semalam.

Hadir sepentas dengan Nasruddin adalah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Kata bekas Ahli Parlimen Temerloh itu lagi, Pas dan UMNO akhirnya bekerjasama bersama atas dasar Islam dan bangsa Melayu.

“Kerjasama ini kita jalankan untuk bangunkan Islam dan ummah di negara ini.

“Maka ia jauh lebih erat dan lebih kukuh untuk mendepani masa depan politik, dan saya harap kerjasama ini ke arah itu,” katanya lagi.

Tambah beliau, kerajaan PH jelas memperbodohkan rakyat setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

Justeru itu katanya, rakyat perlu membuat perubahan dengan memberikan isyarat bahawa kerajaan PH semakin ditolak rakyat.

“Menang kita di DUN Semenyih ini tidak menukar kerajaan negeri Selangor, tetapi kita nak beri signal kepada masyarakat bahawa rakyat bangkit untuk menentang PH dalam PRU akan datang,” katanya lagi.

Pas kini bekerjasama dengan BN khususnya UMNO dalam beberapa PRK sebelum ini antaranya PRK Seri Setia, Sungai Kandis, Cameron Highlands dan yang terbaharu di  Semenyih. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast