Mendiang Presiden Parti IPF, Datuk M. Sambathan

SEMENYIH – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diseru berhenti melakukan sebanrang ‘flip flops’ atau pusingan ‘U’ sesudah memberi harapan menggunung kepada rakyat khasnya penduduk di Semenyih kerana mahukan undi semata-mata.

Sebaliknya, Presiden Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Datuk M. Sambathan berkata kepada MalaysiaGazette, sudah terlampau banyak janji serta ikrar dibuat oleh PH yang sehingga kini masih belum nampak hasilnya.

Malah jika janji itu dilaksanakan sekalipun, ia hanya sekadar separuh daripada apa yang dijanjikan sebelum sesebuah pilihan raya.

“Sekarang musim pilihan raya, sudah bermacam-macam yang telah dijanjikan, pelik betul calon PH apabila begitu teruja membuat janji menang hari ini, esok selesai masalah.

“Kemudian janji pula mahu bina hospital. Benar, usaha murni untuk membina hospital sebenarnya wajar diberikan pujian kerana hakikatnya warga Semenyih memerlukan kemudahan itu tetapi sejauh mana kebenaran itu?

“Selepas itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bukan sahaja menolak cadangan itu, sebaliknya turut berkata tidak ada keperluan lagi untuk membina hospital di Semenyih ketika ini.

“Malam tadi, Dr Dzulkefly membuat cadangan agar dibina sebuah lagi klinik kesihatan di Semenyih bagi memastikan penduduk di kawasan ini mendapat kemudahan perubatan kesihatan yang baik.

“Tapi pada masa yang sama, kerajaan PH ini juga yang beria-ia menutup Klinik 1Malaysia, tidak salah saya 36 buah. Apa ini? Sekarang kerana undi, kamu mahu bina pula klinik? Retorik apa ini? Semata-mata mahu menambah undi? Henti mainkan penduduk Semenyih,” katanya.

Sambathan mengulas cadangan Dr Dzulkefly melontarkan cadangan supaya dibina sebuah lagi klinik kesihatan di Semenyih sebagai penambahan kepada usaha menambah baik fasiliti di dua klinik kesihatan sedia ada di pekan Semenyih dan Beranang yang telah lama dan uzur.

Katanya, dua klinik di pekan Semenyih dan Beranang tidak boleh diperluaskan kerana kekangan tempat dan oleh itu dicadangkan sebuah lagi klinik penjagaan kesihatan premier, pencegahan dan penjagaan keluarga disediakan.

Sebelum ini, Muhammad Aiman Zainali, calon PH dilaporkan menjadikan pembinaan hospital di Semenyih sebagai agenda utama jika menang Pilihan Raya Kecil (PRK) itu memandangkan ia merupakan permasalahan paling banyak diutarakan oleh masyarakat setempat di sini.

Jelas Sambathan yang juga merupakan Ahli Dewan Negara, rakyat semakin ‘jelik’ dengan PH kerana apabila berjanji tidak ada apa-apa yang ditunaikan selain daripada berpuluh-puluh alasan diberikan.

“Rakyat tidak mahu dengar alasan sebenarnya, kerajaan kini diundi serta diberikan mandat kerana umum sudah bosan selain daripada termakan segala macam fitnah dan retorik PH.

“Kini mereka sedar, jadi PH sepatutnya lebih berhati-hati. Rakyat tidak lagi teruja dengar janji-janji kamu kerana manifesto yang kamu katakan bukan satu kitab suci itu sendiri tidak ‘dipedulikan sangat’.

“Saya juga tidak mahu retorik, benar tempoh sembilan tidak cukup untuk anda melakukan perubahan besar malah calon PH menang kali pertama, tapi janganlah ‘bodohkan’ rakyat. Jangan asyik-asyik cakap 60 tahun BN, bagaimana pula dengan kerajaan negeri pimpinan PH yang sudah berkusa sejak 10 tahun lepas?

“Ada banyak isu yang tidak selesai di Semenyih, mengapa kerajaan negeri gagal laksanakan apa yang mereka janjikan itu? Saya beri contoh isu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Semenyih.

“Kita ada pertikaian tanah selama puluhan tahun. Benar, ada pihak termasuk yang berkepentingan menuding jari kepada kerajaan BN khasnya MIC. Pada masa yang sama, mana perginya kerajaan negeri Selangor yang telah berkuasa selama lebih 10 tahun?

“Mereka walaupun ada kuasa tetapi tidak pula campur tangan. Ada juga pihak yang telah menemui saya tentang isu, IPF juga cuba sedaya upaya. Tapi seperti PRU lepas, kini PRK, anda masih mahu tuding jari? Hentikan permainan ini, lihat pula permainan rakyat Sabtu ini,” tegasnya. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/26/dzulkefly-cadang-bina-satu-lagi-klinik-di-semenyih/