KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes seorang pelatih lelaki berumur 14 tahun dipukul di Asrama Sentosa, Jalan Sentul, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP S. Shanmugamoorthy berkata laporan mengenai kejadian yang mengakibatkan mangsa mengalami patah tangan kanan, diterima pada 6.30 petang semalam.

“Mangsa kini sedang dirawat di wad Hospital Kuala Lumpur. Mangsa dipercayai dipukul kerana suspek tidak berpuas hati dengannya kerana mahu memaklumkan kepada pihak warden mengenai kegiatan suspek yang membawa rokok ke asrama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shanmugamoorthy berkata beberapa suspek lelaki yang memukul mangsa telah dikenalpasti.

Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat setakat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA