Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persiapan terakhir pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di JKKK Kampung Sesapan Kelubi, Beranang. foto SYAFIQ AMBAK, 02 MAC 2019

SEMENYIH – Sejumlah 53,411 pengundi dijangka menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)  Semenyih, hari ini.

Orang ramai kelihatan mula datang ke pusat-pusat mengundi seawal 7.30 pagi biar pun masa mengundi hanya bermula pada pukul 8 pagi.

Jumlah pengundi biasa yang layak mengundi dalam PRK Semenyih ialah 53,520 orang. Bagaimanapun daripada jumlah itu 109 telah mengundi secara pos, menjadikan jumlah yang layak mengundi 53,411 orang.

Waktu mengundi ditetapkan dari 8 pagi hingga 5.30 petang.

Pengundian awal bagi PRK itu diadakan Selasa lalu (26 Feb).

Bagi pengundi yang telah menerima Kad Pengundi (Voter’s Card) atau yang telah mengetahui maklumat daftar pemilih, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR.

Bagi pengundi yang tidak menerima Voter’s Card kerana kemungkinan telah berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian, mereka disaran membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.

PRKD DUN Semenyih menyaksikan pertandingan antara calon PH Muhammad Aiman Zainali,  Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon Bebas Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’.

Ia diadakan selepas kematian wakil rakyat kawasan tersebut Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.
– MalaysiaGazette