Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pemeriksaan ke atas individu yang enggan turunkan kain rentang kontroversi yang dipasang oleh penyokong Pakatan Harapan pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang. foto SYAFIQ AMBAK, 02 MAC 2019

KAJANG – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertegas menangani tindakan provokasi daripada Pakatan Harapan (PH) semasa hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih hari ini.

Menurut beliau, SPR sebagai badan yang berpegang kepada undang-undang pilihan raya perlu ‘cakap serupa bikin’ kerana ini melibatkan sistem demokrasi negara.

“Jika dibiarkan ia akan menimbulkan konflik antara penyokong-penyokong seperti yang berlaku hari ini di Kampung Minangkabau misalnya, sepanduk yang dianggap fitnah, perkara yang tidak baik kepada Datin Seri Rosmah Mansor, perkara ini menyalahi Akta Pilihan Raya,” katanya selepas meraikan kemenangan BN dalam PRK DUN Semenyih, sebenar tadi.

Turut hadir adalah bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Ketika proses pembuangan undi di PRK Semenyih, berlaku beberapa insiden antaranya pemasangan kain rentang provokasi yang tidak melibatkan calon PRK Semenyih.

Oleh itu, beliau berharap agar SRP dapat memastikan kejadian provokasi ini ditangani segera.

“Bila perkara itu dibiarkan dan tidak diambil tindakan, akhirnya petugas, jentera yang ambil tindakan

“Ini akan boleh menyebabkan berlaku kekecohan, saya harap masa-masa akan datang selepas saja penamaan calon, bila Akta Kesalahan Pilihan Raya mula kuatkuasa, SPR mesti lebih proaktif dalam mengangani isu-isu seperti ini,” katanya lagi.

Di Pusat Pengundian Sesapan Batu Rembau, gempar apabila terdapat kain rentang berunsurkan fitnah dipasang.

Dalam kain rentang itu, terdapat wajah isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ia jelas ditulis dengan kata-kata kontroversi berkaitan fenomena ‘Bossku’.

‘Malu Apa Bossku, Siapa Boss? Akulah Boss. Ingat Najib ke?,’ tertera pada kain rentang berkenaan. -MalaysiaGazette