Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof disaran menyelesaikan masalah rakyat terlebih dahulu sebelum memberi tumpuan kepada projek kereta terbang.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menegaskan, Mohd Redzuan perlu mendahulukan keutamaan rakyat dalam mendepani kos sara hidup dan langkah berjimat-cermat Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya menyarankan agar menteri tidak perlu memberi fokus keterlaluan kepada projek kereta terbang dalam keadaan tuntutan menyelesaikan masalah rakyat berbanding seronok mengumumkan projek yang berbunyi gah tetapi masih jauh daripada realiti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahad lalu, Mohd Redzuan berkata, teknologi kereta terbang itu boleh digunakan untuk memantau ladang-ladang selain menjaga keselamatan di sempadan negara.

Mohd Redzuan dilaporkan media sebelum ini bahawa prototaip kereta terbang dijangka siap pada awal Jun ini dan kos penghasilan prototaip itu tidak melebihi RM1 juta, selain ia dibiayai oleh pihak swasta.

Wakil rakyat dari Pas itu juga menyifatkan pengumuman menteri itu sebagai terburu-buru kerana idea kereta terbang terbabit masih ‘belum masak’ dan tiada perancangan rapi.

“Kenapa menteri perlu terburu-buru membuat pengumuman perkara yang masih belum jelas hujung pangkalnya?” katanya.

Ahmad Amzad juga mendakwa idea menteri itu juga adalah projek berasingan daripada perancangan kereta nasional ketiga.

“Sepatutnya, kerajaan perlu lebih dahulu menyiapkan dan membentangkan kepada rakyat apakah strategi dan memastikan daya saing kereta nasional ketiga dalam pasaran tempatan dan rantau Asia sebelum melontarkan idea lain yang masih belum jelas untung ruginya kepada rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette