Maher Zain
Penyanyi terkenal, Maher Zain ketika melakukan persembahan pada Perbualan bersama Maher Zain anjuran CIMB Islamic Bank sempena Maher Zain Tour Malaysia 2019 di Hilton Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 06 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Penyanyi antarabangsa, Maher Zain mengakui terpikat dengan makanan Melayu khususnya sate dan nasi lemak. 

Katanya, budaya Malaysia juga memikat hatinya termasuk respon yang baik terhadap dirinya dan lagu-lagunya semenjak 2005.

“Saya sukakan sate, nasi lemak. Saya sukakan budaya Asia di sini,” katanya sambil tersenyum simpul. 

“Saya tidak sangka akan diterima sehingga di Malaysia menerusi lagu-lagu saya semenjak 2005, banyak orang di sini nyanyikan semula lagu saya, banyak permintaan untuk saya ke sini membuatkan saya terharu dan rasa diterima,” katanya lagi mengimbau langkahnya ke Malaysia beberapa tahun lalu.

Justeru itu, beliau berharap jelajahnya ke empat buah negeri mula 9 Mac ini akan dapat menggembirakan peminatnya di sini. 

“Saya gembira dapat kembali di sini dan saya berharap peminat di sini juga akan menerima saya bukan sekarang, juga pada masa akan datang,” tambahnya. 

Maher Zain yang dibawakan oleh CIMB Islamic bermula 9 Mac akan mengadakan jelajahnya di Axiata Arena kemudian ke Pasir Gudang, Johor (15 Mac), Spice Pulau Pinang (16 Mac) dan seterusnya Universiti Malaysia Sabah (17 Mac).

Berkongsi persediaannya menuju empat jelajah sepanjang Mac ini, Maher selain sentiasa mengasah vokalnya dan menjalani senaman, beliau juga menitikberat pengambilan makanan.

Penyanyi berusia 37 tahun itu berkata, buat masa ini beliau mengelak makanan pedas.

“Saya rasa kadang-kadang kita perlu juga senaman dan selain itu saya pilih makanan yang baik untuk saya,” ujarnya pengalun lagu Insyallah yang pernah menjadi fenomena di Malaysia. 

Maher Zain juga sempat berkongsi perkembangan terkininya dengan menjangka mengeluarkan album terbaharu menjelang Hari Ibu iaitu Jun nanti. 

Untuk rekod, kali terakhir Maher Zain mengadakan persembahan di Malaysia pada 2016 sempena kelahiran album, One.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan CIMB Mohamed Adam Wee berkata, penyanyi berketurunan Lubnan yang dikenali di Malaysia menjadi pilihan kerana personalitinya yang membawa motivasi baik kepada rakyat dalam negara.

“Kenapa kami membawakan Maher Zain adalah kerana dia boleh memberikan inspirasi yang baik terhadap rakyat,” ujarnya ketika sidang media bersama Maher Zain menjelang tiga hari lagi Jelajahnya di Axiata Arena. 

Penganjur bersama dengan CIMB iaitu MyEvents International menerusi Presidennya, Shahul Dawood dalam masa yang sama menberi jaminan Jelajah Maher Zain 2019 akan dapat memuaskan hati peminat yang lama menunggu persembahannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast