KUALA LUMPUR – Penari klasik tarian India tempatan, Ravi Shanker Rama Murthy menghembuskan nafas terakhirnya awal pagi tadi berikutan sakit sekian lama jangkitan bakteria sekaligus mengundang rasa terkejut serta pilu bagi rata-rata peminat seni tanahair hari ini.

Pemergian itu juga menyebabkan keseluruhan masyarakat khasnya yang mengenali mendiang melahirkan rasa sedih sejak awal pagi tadi.

MalaysiaGazette juga difahamkan majlis pengebumian beliau mengikut cara Hindu akan diadakan pada hari ini bermula 10 pagi di studio tarian beliau di Jalan Tun Sambathan, Brickfields sebelum mayatnya dibawa ke Cheras untuk upacara kerohanian lain.

Mendiang Ravi Shanker

Ravi Shanker yang juga merupakan pengasas sekolah tarian terkenal, Asthana Arts itu juga memiliki bakat-bakat terpendam lain termasuk mengarah, mengajar, sutradara, pengarah artistik serta menghasilkan persembahan pentas klasik juga mendapat sambutan menggalakan selama ini.

Menariknya, di bawah kelolaan beliau juga, pementasan Astana bukan sahaja terjurus kepada peminat dalam kalangan masyarakat India dan fasih berbahasa Tamil, sebaliknya pementasan di dalam pelbagai bahasa termasuk Ramayana (B. Ingggeris) Mahsuri (BM), Lady White Snake (Bahasa Cina), Kaur (Bahasa Punjabi) , Maa Telegu Talli ( Telegu) , Anarkali ( Hindi) dan banyak lagi produksi.

Ini hanya sebahagian daripada apa yang telah dihasilkan oleh mendiang selama lebih dua dekad ini.

Wajah-wajah sebalik persembahan klasik Ravi Shanker

Perjalanan mendiang yang bermula seawal usia 16 tahun selepas kematian ibunya menyebabkan dirinya merempat dan tidur di tepi jalan tidak pernah menghalangnya daripada berjaya dalam dunia seni klasik di negara ini.

Malah hanya dengan bekerja sebagai jurujual sambilan, beliau bukan sahaja tidak berhenti bersekolah, namun kerana minat mendalam dalam dunia tarian khasnya klasik beliau sanggup keluar duit untuk menyertai kelas tarian pada waktu terluang pada awal usia.

Bukan sahaja mendiang berjaya menggulung ijazah dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM) serta Akademi TV3, dirinya juga telah melebarkan sayap sehingga berjaya memiliki studio tari sendiri yang kemudian dengan penuh dedikasi digunakan untuk melatih serta mengasah bakat muda.

Antara persembahan Ravi ShankerParameswara

Karya terakhir beliau ‘Parameswara’ yang ditulis beliau dari Hikayat Malaya, Cina dan Portugis penghujung tahun lepas juga mendapat sambutan memberangsangkan.

Pada hari ini, sesungguhnya negara telah kehilangan sebutir mutiara yang telah banyak memberikan sumbangan serta jasanya dalam dunia tarian klasik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast