Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Penggunaan dron secara komersil dalam industri pos dan kurier mampu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo hari ini.

Beliau berkata, teknologi dron mempunyai kelebihan dalam beberapa bidang seperti kesihatan, pertanian dan perubatan malah boleh membantu membawa bekalan makanan kepada mereka yang terperangkap dalam banjir.

Katanya, penggunaan inovasi ‘Unmanned Aerial Vehicle’ (UAV) dron sedang giat dilaksanakan di pelbagai negara seperti Switzerland di mana Swiss Post telah menggunakan dron secara komersil bagi menghantar sampel atau spesimen makmal di antara klinik dan hospital sejak 2018.

“Malaysia sudah pasti tidak mahu ketinggalan dalam arus permodenan itu, dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyuarakan pendapat bahawa negara kita mesti meneroka teknologi baharu seperti dron dan kepintaran buatan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Pertandingan Parcel Drone 2019 di Kompleks Sukan Air Putrajaya di sini hari ini.

Gobind berkata, contoh kegunaan dron di negara ini ialah untuk menghantar bekalan ubat-ubatan ke kawasan terpencil dan luar bandar pada masa kecemasan, atau melihat jenis pokok serta membawa baja bagi kawasan luas dalam industri pertanian.

Pertandingan Parcel Dron yang dianjurkan oleh Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), itu berlangsung selama dua hari bermula semalam, melibatkan 40 peserta termasuk daripada beberapa institusi pengajian tinggi.

Para peserta diberi dua kesempatan bagi menerbangkan dron dengan muatan seberat dua kilogram dan mereka perlu menerbangkan bungkusan tersebut sejauh dua kilometer merentasi Tasik Putrajaya dan kembali semula ke tapak pelancaran dalam masa terpantas.

Dalam pada itu, Gobind berkata, pihaknya akan terus memberikan sokongan dan dorongan yang diperlukan pihak Pos Malaysia dan MCMC dalam usaha meningkatkan keupayaan negara dalam bidang penghantaran bungkusan agar keupayaan negara setanding dengan negara-negara maju.

“Kita juga tetap akan mengutamakan isu keselamatan penggunaan dron dalam perkhidmatan pos dan adakalanya boleh berlaku kemalangan disebabkan isu teknikal. Ini adalah selaras dengan peraturan sedia ada seperti yang ditetapkan dalam industri penerbangan,” katanya. – Bernama