KOTA BHARU- Kerajaan akhirnya meluluskan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur fasa ketiga (LPT3), fasa terakhir yang melengkapi jajaran lebuhraya menghubungkan negeri-negeri di sebelah timur semenanjung Malaysia.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata, kerajaan menganggap pembinaan lebuhraya sepanjang 150km dari Gemuruh di Terengganu dengan Tumpat, Kelantan itu amat penting bagi merancakkan ekonomi negeri Kelantan selain menaiktaraf kehidupan rakyat di negeri itu.
“LPT3 itu nanti akan mewujudkan koridor ekonomi baharu di pesisir pantai Kelantan dan dapat membantu Pelabuhan Tok Bali yang baharu dibina walaupun ia dibina menerusi insiatif swasta namun kerajaan berpendapat potensi pelabuhan tersebut perlu dikembangkan.
“Lebuhraya itu juga akan merangsang pertumbuhan di kawasan perindustrian Tok Bali kerana produk-produk yang dikeluarkan di situ dapat dibawa keluar melalui sistem pengangkutan yang lebih berkesan,” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Kelantan buat pertama kali hari ini.
Tambah Azmin, kos pembinaan lebuhraya berkenaan masih lagi dibincangkan dan model sedia ada mungkin akan disemak semula dengan syarikat konsesi lebuhraya.
Selepas Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kepimpinan pasca Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu, nasib LPT3 menjadi tidak menentu apabila kerajaan membuat keputusan untuk membatalkan semua projek mega.
Selain pembinaan LPT3, kerajaan juga menjadikan projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu sebagai keutamaan kerana lapangan terbang tersebut telah melebihi kapasiti penumpang sejak beberapa tahun lalu.
“Kapasiti lapangan terbang tersebut adalah 1.5 juta penumpang sahaja dan apabila sudah dinaiktaraf, ia mampu menampung kira-kira empat juta penumpang.
“Projek akan dimulakan akhir tahun ini,” katanya lagi.
Selain itu, Azmin turut mengumumkan pemberian peruntukan pembangunan oleh kerajaan persekutuan kepada negeri Kelantan sebanyak RM1.4 bilion pada tahun ini, meningkat RM200 juta berbanding sebelumnya.
Katanya, kerajaan persekutuan telah menyatakan komitmen untuk memberikan perhatian sama rata kepada semua wilayah dan Kelantan merupakan antara enam negeri yang diberi perhatian utama dalam Semakan Separuh Penggal RMK11.
“Peruntukan tersebut adalah besar dan ia adalah untuk perbelanjaan pembangunan jadi saya sangat berharap, kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk menjayakan projek-projek pembangunan yang memberi impak kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya lagi.
Kerajaan persekutuan juga katanya telah meluluskan projek Jambatan Palekbang yang menghubungkan Kampung Palekbang di Tumpat dengan Kampung Cina di Kota Bharu, projek jalanraya Pasir Putih-Machang-Jeli, sebuah jalan pintas yang menghubung Central Spine Road dengan Pelabuhan Tok Bali serta projek jalanraya Kuala Krai- Kota Bharu.
Jelas Azmin, kesemua projek jalanraya tersebut adalah penting di dalam menambah baik kesalinghubungan pengangkutan rakyat Kelantan.- MalaysiaGazette