Datuk Iskandar Abdul Samad. foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2019
Iskandar A. Samad.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad membidas Asmuni Alwi dan menyatakan bekas Bendahari Pas Pusat itu tidak menjalankan tugas sebagaimana yang dipertanggungjawabkan.

Menurut Iskandar, kenyataan Exco kerajaan Perak itu menggambarkan beliau tidak tahu akan aliran keluar masuk wang parti.

“Saya rasa kalau dia (Asmuni) tidak tahu, maknanya dia tidak buat kerja sebagai bendahari agung parti. Saya tidak tengok kenyataan dia. Saya rasa, dia patut tahu sebab dia berada dalam kepimpinan Pas (dahulu).

“Duit Pas adalah dalam kocek ahlinya. Jadi, duit parti bukan terletak kepada bendahari tetapi adalah dengan ahli-ahli Pas,” katanya selepas Seminar Perpaduan Nasional anjuran Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) di ibu negara hari ini.

Asmuni pada Khamis lalu melahirkan rasa terkejut dengan kepimpinan Pas yang didakwa tidak mengusik dana parti tetapi dalam masa yang sama menganjurkan program besar melibatkan kos yang tinggi.

Asmuni yang memegang jawatan itu selama dua tahun dari 2015 sehingga 2017 mendakwa, ada program yang dianjurkan Pas menelan belanja jutaan ringgit namun tidak meminta sebarang peruntukan daripada beliau sebagai bendahari.

“Penganjuran program bernilai jutaan ringgit seperti Muktamar Pas, atau Perhimpunan Agung Pas pada 2015 yang diadakan di Kuala Selangor, Nadwah Pemerkasaan Du’at (Nekad), Himpunan Derita Rakyat (Hindar), dan Himpunan Harapan Semua (Harap) tidak pernah meminta sebarang pembiayaan daripada saya selaku Bendahari ketika itu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Mengulas mengenai itu, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh berkata peruntukan adalah daripada daripada ahli Pas sendiri.

Malah katanya, parti itu tidak perlu bimbang kerana ahli-ahli Pas sedia untuk memberikan berapa sahaja yang diminta oleh pucuk pimpinan demi jalan Islam.

“Kekuatan Pas adalah daripada ahlinya. Ini kelebihan Pas, kita nak berapa juta, insyaallah akan cukup.

“Berapa kita nak, kita cuma kena isytihar sahaja, dan boleh capai jumlah itu. Itu kelebihan Pas. Kita tidak pernah minta daripada pihak tertentu dan pihak luar. Itu bukan amalan dalam Pas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast