KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia meningkat semula pada pembukaan hari ini, dengan FBM KLCI naik 3.77 mata kepada 1,668.40 selepas susut 0.91 peratus semalam, disokong oleh sentimen di peringkat global yang lebih baik.
Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.22 mata daripada paras terendah harian pada 1,664.63 semalam.
Indeks dibuka tinggi 3.33 mata kepada 1,667.96.
Public Investment Bank Bhd berkata suasana positif itu sejajar dengan pasaran saham global, yang menyaksikan saham AS meningkat semula daripada penurunan mingguan terbesarnya dalam tempoh tiga bulan dengan peningkatan satu hari terbesarnya sejak Januari berikutan wujudnya aktiviti penggabungan dan spekulasi yang mendorong pasaran.
Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 196 berbanding 48, manakala 143 kaunter kekal tidak berubah, 1,517 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 123.63 juta saham bernilai RM54.11 juta.
Pasaran saham serantau, Nikkei 225 Jepun meningkat 1.51 peratus kepada 21,443.47, Hang Seng Hong Kong naik 0.97 peratus kepada 28,503.301 dan Kospi Korea Selatan menambah 0.84 peratus kepada 2,156.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga, masing-masing naik dua sen kepada RM9.49 dan RM12.64, PBBank menokok enam sen kepada RM24.26, bagaimanapun PChem susut dua sen kepada RM9.18.
Daripada saham aktif, Velesto dan MyEG, masing-masing menambah dua sen kepada 30 sen dan RM1.25, Sapnrg meningkat setengah sen kepada 32 sen dan Dayang naik lima sen kepada RM1.57.
Daripada kaunter untung, Allianz meningkat 20 sen kepada RM14.46, HEIM naik 18 sen kepada RM23.0, Hengyuan menambah 13 sen kepada RM6.25 dan PetGas menokok 12 sen kepada RM17.86.
Indeks FBM Emas meningkat 33.06 mata kepada 11,669.72, FBMT 100 naik 32.67 mata kepada 11,520.96 dan FBM 70 menambah 67.36 mata kepada 14,117.45, Indeks FBM Emas Shariah menokok 31.35 mata kepada 11,681.31.
Indeks FBM Ace naik 39.29 mata kepada 4,721.62.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 19.20 mata kepada 7,269.74, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 45.85 mata kepada 17,360.16, dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.21 mata kepada 168.89. – MalaysiaGazette