Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy

KUALA LUMPUR – Kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan dan membicarakan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Notis permohonan untuk memindahkan kes itu dibuat pada 28 Feb lepas mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

“Permohonan hari ini adalah permohonan pihak pendakwaan di bawah Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, saya dimaklumkan peguam bagi pihak responden (Najib dan Arul Kanda) tiada bantahan,” kata Timbalan Pendakwa Raya Amir Nasrudin semasa pendengaran permohonan pendakwaan itu.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib, 66, dan peguam Datuk N.Sivananthan mewakili Arul Kanda, 43, mengesahkan pihak pembelaan tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan itu.

Bagaimanapun, tarikh pengurusan kes di Mahkamah Tinggi akan ditetapkan kemudian dan kes tersebut akan disebut di Mahkamah Sesyen pada 5 April ini bagi memaklumkan perkembangan terbaru itu.

Pada 12 Dis 2018, Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Dia dituduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Anggota Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016. Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan tersebut, bagi melindungi Anggota Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Pada 4 Jan 2019, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Najib dan Arul Kanda dibicarakan bersama.

–BERNAMA