Pengarah Jabatan Perlesenan MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata operasi berkenaan bermula pada kira-kira 9 malam sehingga 2 pagi tadi, turut membongkar kegiatan sebahagian pemilik premis tempatan yang menyewa premis mereka kepada warga asing dan menggajikan pekerja warga asing.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati tujuh premis berkenaan melakukan pelbagai kesalahan termasuk keadaan premis yang kotor serta terdapat haiwan perosak.
“Kami mendapati tujuh premis makanan itu telah melanggar syarat undang-undang pelesenan dengan menggajikan pekerja warga asing secara haram serta keadaan premis yang kotor.
“Ada antara kes pemilik premis tempatan menyewakan premis mereka kepada warga asing dan hasil pemeriksaan lanjut terdapat pasangan suami atau isteri kepada warga asing berkenaan adalah warga tempatan yang memiliki lesen,” katanya kepada pemberita di sini.
Muhammad Azli berkata tindakan penutupan premis berkenaan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan MPSJ 2007.
— BERNAMA