KABUL – Setiap kali Aryana Sayeed, salah seorang penyanyi popular Afghanistan kembali ke negara kelahirannya, beliau terpaksa berhadapan dengan pelbagai ancaman dan kecaman termasuk berhubung perjuangannya terhadap hak-hak wanita dan corak pemakaiannya.
Namun, beliau tetap pulang dengan kerap ke negara tersebut bagi memberi galakan kepada wanita-wanita Afghan yang selama ini ditindas oleh rejim Taliban selain mahu berkongsi karya muziknya yang merupakan gabungan di antara pop dan tradisional.
“Memang sukar untuk saya sebagai seorang penyanyi wanita untuk meneruskan tugas di Afghanistan termasuklah ancaman-ancaman yang sering saya terima di samping serangan di media-media sosial.
“Saya selalu menerima mesej-mesej sedemikian. Sangat menakutkan sebenarnya,” luah Aryana dalam satu temubual di sini.
Kejayaan Aryana di Afghanistan dan menjadi salah seorang rakyat Afghan yang berjaya tinggal di luar negara menunjukkan betapa besar perubahan telah berlaku terhadap kaum wanita negara tersebut sejak pengusiran Taliban oleh askar-askar Amerika Syarikat pada 2011.
Dilahirkan di Kabul, Aryana meninggalkan negara tersebut pada usia 8 tahun bersama keluarganya.
Mereka kemudiannya tinggal sekejap di Pakistan dan kemudiannya ke Switzerland.
Bagaimanapun selepas permohonan suaka keluarga beliau ditolak, mereka terpaksa mengupah penyeludup untuk ke London sebelum berhijrah ke sana.
Sekarang, pada usia 34 tahun, Aryana berulang di antara Kabul dan Istanbul.
Di Kabul, Aryana terpaksa menggunakan kenderaan bersenjata dan selalunya terpaksa menyorok.
“Secara dasarnya, saya adalah seorang banduan di bilik sendiri.
“Apa yang saya boleh lakukan hanyalah balik ke bilik kemudian ke set dan merakam persembahan,” katanya.
Wanita-wanita di Afghanistan telah mula mendapat semula hak mereka untuk bekerja dan bersekolah selepas kerajaan Taliban runtuh.
Namun, di kawasan-kawasan luar bandar di mana penduduknya lebih konservatif berbanding di bandar, masih ramai orang yang menolak cara Aryana berpakaian dan kempennya untuk memperjuangkan hak wanita.
“Orang suka mendengar suara Aryana tetapi tidak menyukai beliau,” kata seorang pembikin filem, Sadan Wahidi yang ketika ini sedang menyiapkan sebuah dokumentari mengenai penyanyi wanita berkenaan yang selalu dibandingkan dengan bintang reality Hollywood, Kim Kardashian. – Reuters