GEORGE TOWN – Ibu dan abang kepada mangsa serangan masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat, Rahimi Ahmad, akan berlepas ke negara itu pada 3.30 petang ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Aziz Mahathir akan mengiringi Rokiah Mohammad, 65, dan anak lelakinya, Roshidi, 42 dalam penerbangan itu.

“Urusan penerbangan saya, YB (Yang Berhormat) Phee dan ibu serta abang Rahimi dah selesai. Pada 3.30 pm (petang akan berangkat dari) PIA,” kata Azrul melalui WhatsApp hari ini.

Urusan itu dibuat susulan pengumuman Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, malam tadi, bahawa wakil kerajaan Pulau Pinang akan bersama-sama dengan anggota keluarga Rahimi berlepas ke negara itu hari ini, bagi melihat sendiri keadaan mangsa.

Rahimi, 39, adalah antara dua rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera dalam insiden tembakan di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood. Kedua-dua mereka kini menerima rawatan di hospital di sana. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast