KUALA LUMPUR – Pas dan UMNO kini umpama adik beradik, akui Yang Dipertua Pas Kangar, Yussaine Yahya.
Kata beliau, sejak kerjasama itu dimeterai, Pas dan rakannya UMNO tidak pernah sunyi dari fitnah musuh politiknya.
“Akhir-akhir ini kita melihat perjuangan Islam ini diasak dengan fitnah namun, ingatlah walaupun ribut fitnah melanda, perkara ini akan menjadikan ahli Pas semakin kuat dan yakin dengan perjuangan Islam yang dibawa parti ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebagai orang beriman, apabila matlamat partinya semakin kuat ditekan dan diasak, Pas semakin dekat dengan perjuangannya.
Jelasnya, pihak lawan menggunakan segala kekuasaan yang ada terutama melalui media massa yang sepatutnya ahli mesti yakin dengan perjuangan Pas.
Tambah Yussaine lagi, sememangnya tabiat perjuangan Islam sejak dari zaman Nabi Muhammad SAW sehingga hari kiamat, pasti akan berdepan dengan tekanan seperti itu.
Beliau mengingatkan para muktamirat lagi, perjuangan Pas selain dari politik ialah gerakan Islam yang mempunya tiga elemen penting.
“Yang pertamanya dakwah, yang kedua tarbiah dan terakhir ialah siasah. Kerana dakwah ini, kita menerima permohonan maaf dari UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette