POKOK SENA- PKR lebih selesa jika calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bulan depan, digelar sebagai calon ‘underdog’, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata situasi itu diharap dapat menyuntik semangat para aktivis, anggota serta pemimpin PKR supaya bekerja lebih kuat bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S. Streram.

“Gelaran ‘favourite’ itu biarlah kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan kerana sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, sudah tentu beliau mempunyai kelebihan.

“Namun kami sebenarnya sangat optimis dan yakin mampu memberi saingan kuat (kepada BN) dan tidak luar biasa kalau (PH) mampu beri kejutan kepada Mohamad Hasan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena di sini hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu mengulas mengenai bebeapa dakwaan bahawa Dr. Streram bakal berdepan laluan sukar pada PRK Rantau.-BERNAMA