PUTRAJAYA – Pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor tidak memberi kesan besar kepada penternak ikan dan petani di kawasan sekitar, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.
Beliau berkata laporan awal daripada tinjauan yang dibuat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mendapati hanya beberapa pengusaha ikan sungai menyatakan pendapatan mereka sedikit terjejas berikutan pencemaran tersebut.
“Setakat ini, tidak ada tanda-tanda besar melibatkan ikan dan sayur-sayuran.
“Saya telah minta pemantauan serius dibuat dan laporan-laporan terkini akan diumumkan sekiranya ada berlaku,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen pengharaman racun Paraquat, di sini hari ini.
Salahuddin berkata pihak kementerian akan menyalurkan bantuan yang perlu jika penternak ikan dan petani mengalami kesan besar daripada insiden pencemaran sungai itu.
Kejadian pencemaran di Sungai Kim Kim menjejaskan kesihatan ribuan orang awam di kawasan sekitar dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang diarah tutup susulan pembuangan sisa toksik pada 7 Mac lepas.
Ditanya mengenai isu bantuan baja tambahan nitrogen, fosforus dan kalium (NPK) serta racun kepada 322,000 pesawah seluruh negara, Salahuddin berkata proses pengagihan untuk musim ini telah selesai.
Bagaimanapun, katanya untuk tahun depan, beliau akan memastikan Belanjawan 2020 menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk bantuan tersebut.
Baru-baru ini media melaporkan pesawah di seluruh negara lewat menerima bantuan baja tambahan NPK dan racun tersebut.
— BERNAMA