Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berucap pada Invest Malaysia 2019 The Capital Market Forum di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan yakin 100 peratus kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan buat lebih baik berbanding pentadbiran Barisan Nasional (BN) menerusi pembaharuan reformasi yang dilaksanakan.

“Ini bukan sahaja kerana kita mempunyai Perdana Menteri yang merupakan seorang negarawan yang sangat dihormati dengan pengalaman luas dan hubungan baik dengan banyak negara di seluruh dunia, tetapi perkara penting ialah sudah terbukti dalam sejarah bahawa kerajaan yang bersih akan sentiasa melakukan lebih baik daripada kerajaan yang korup, “katanya dalam Forum Invest Malaysia 2019 hari ini.

Guan Eng lapor Theedgemarkets, kerajaan sekarang bersih dan berhasrat melaksanakan pembaharuan bagi memastikan kerajaan masa depan juga bersih.

Beliau berkata, kerajaan akan memastikan semua dasar “betul” dan juga memastikan Malaysia adalah sebuah negara dengan cita-cita, tujuan dan kejelasan.

“Tetapi, tentu saja, kita tidak bercita-cita secara berlebihan. Apa yang kita mahukan adalah pelabur antarabangsa dan pengurus dana (tahu) Malaysia adalah negara yang mereka boleh percaya dan bergantung.

“Sekiranya kami memberi laporan kami kepada anda, ia boleh dipercayai. Tidak akan ada perakaunan kreatif, tidak ada fail tersembunyi, tiada pemalsuan aset, apa yang anda lihat adalah apa yang anda dapat,” kata Guan Eng.

Beliau memberi jaminan kepada para pelabur dan pengurus dana bahawa mereka yang korup akan dikesan dengan cepat dan dihukum.

“Saya mengatakan ia mekanisme yang paling berkesan, selain pendedahan dan pemberi maklumat, kami melaksanakan sistem kawalan dalaman,” tambahnya. – MalaysiaGazette