BUKIT MERTAJAM – Seorang pembantu khidmat am Kementerian Kesihatan (KKM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal secara tidak cermat hingga menyebabkan dua pejalan kaki cedera, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Amin Abdul Hamil, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Razali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penunggang motosikal Honda RS-X didakwa menunggang dengan tidak cermat dan tanpa pertimbangan munasabah terhadap pengguna jalan raya lain sehingga menyebabkan kemalangan kepada dua pejalan kaki.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Permatang Pauh di sini, jam 7.20 pagi, pada 23 September lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 dan boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun menawarkan jaminan RM10,000, manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh, K. Puvirajan memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh perlu menanggung kedua-dua ibu bapa yang tidak bekerja.
“Anak guam saya baru mendapat kerja sebagai pembantu khidmat am di Kementerian Kesihatan empat bulan yang lalu dengan pendapatan RM1,500.
“Dia juga tidak mempunyai risiko melarikan diri dan difahamkan ada usaha untuk mencapai penyelesaian antara pengadu dan tertuduh di luar mahkamah,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dan menetapkan 18 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
ARTIKEL BERKAITAN
Media sebelum ini melaporkan polis mengesan penunggang motosikal yang melanggar dua murid perempuan berusia lapan dan sembilan tahun ketika mereka melintas di lintasan pejalan kaki di hadapan sebuah sekolah kebangsaan di Permatang Pauh di sini.
Kedua-dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















