PELABUHAN KLANG – Sindiket penyeludupan migran dikesan menggunakan pelbagai modus operandi termasuk memanfaatkan laluan antarabangsa dan lokasi persinggahan tertentu untuk membawa masuk pendatang asing secara haram ke negara ini.
Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hasan Basri berkata, pihaknya kini memperkukuhkan operasi menerusi perkongsian risikan dan maklumat antara agensi bagi membanteras kegiatan berkenaan.
“Kegiatan penyeludupan migran berlaku tanpa mengira waktu, termasuk pada siang dan malam, menyebabkan tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara berterusan.
“Perkara ini kita dapat atasi dengan cara bekerjasama, berkolaborasi dan berkongsi maklumat serta risikan keselamatan dengan pelbagai agensi,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Pasukan Polis Marin (PPM) ke-79 di Pengkalan PPM Wilayah 1, Pulau Indah, di sini, hari ini.
Menurut beliau, PPM bekerjasama dengan Jabatan Laut; Maritim Malaysia serta Jabatan Perikanan dalam usaha mengesan dan mengekang aktiviti penyeludupan manusia di perairan negara.
Selain PPM, katanya, penempatan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di beberapa lokasi turut membantu memantau kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot atau ‘black spot’ pendaratan pendatang asing.
Antara kawasan yang diberi perhatian termasuk pesisir Perak, Selangor, Johor serta sempadan utara negara.
“Kita telah mengenal pasti tempat-tempat pendaratan dan menubuhkan pos-pos pengawal serta penempatan anggota PGA untuk memantau pusat-pusat pendaratan haram.
“Pendekatan bersepadu antara elemen laut dan darat penting bagi menutup ruang yang digunakan sindiket penyeludupan migran,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, penubuhan pos Pasukan Gerakan Am (PGA) dan operasi pangkalan hadapan bakal diperkukuhkan di Pulau Banggi, Sabah bagi meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan strategik berkenaan.
Jelasnya, langkah itu membabitkan penempatan pelbagai elemen pasukan keselamatan bagi memperkukuh kawalan di daratan dan perairan Pulau Banggi.
Menurutnya, usaha berkenaan turut melibatkan PPM, PGA dan unit udara sebagai sebahagian daripada pengukuhan operasi keselamatan di pulau berkenaan.
“Ini termasuk memperkukuhkan kekuatan perairan dan daratan dengan menubuhkan pos-pos PGA serta operasi forward base yang melibatkan pasukan marin, PGA dan unit udara,” katanya.
Mohd Yusri turut berkata, Pulau Banggi mempunyai potensi besar untuk diperkasakan sebagai salah satu pintu masuk strategik negara dari arah Filipina.
“Aspek keselamatan di Pulau Banggi turut diberi perhatian susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama kepimpinan tertinggi keselamatan negara baru-baru ini.
“Pulau Banggi mempunyai potensi pada masa hadapan dan merupakan pintu masuk utama ke negara kita melalui Sabah dari Filipina,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















