KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia sedang dalam proses penyelarasan Akta Pekerjaan dan Ordinan Buruh Sabah, Sarawak dan Akta Pekerjaan 1955.
Menterinya, M. Kula Segaran berkata, ketika ini wujud ketidaksamaan antara undang undang pekerjaan melibatkan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Ia juga tidak memberi hak keadilan kepada semua pekerja di bawah dua undang undang pekerja yang berbeza.
“Ada beberapa akta dan ordinan yang tidak memihak kepada pekerja dan sekatan terhadap pekerja di sesuatu kawasan maka beberapa wakil pekerja dari persatuan antaranya memohon keseimbangan dengan bantuan kementerian.
“Lebih menyedihkan dasar pekerjaan nasional tidak dikemaskini sejak 25 tahun dan semuanya ketinggalan di belakang sebab itu pindaan perlu dibawa demi melindungi pekerja,” katanya dalam sidang media khas hari ini.
Tambah Kula Segaran, dalam mesyuarat kali ketiga itu, beberapa isu berbangkit dengan Persatuan Majikan Malaysia (MEF), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) termasuk setiausahanya, Chaterine Jikunan telah berkongsi ketidaksamaan penguatkuasaan undang-undang kerja dalam Ordinan Sabah Sarawak yang mendesak pindaan menerusi menteri berkenaan.
Beliau turut menjelaskan Mahkamah Perusahaan dan Buruh perlu memainkan peranan penting dan bukan sekadar menjadi mahkamah mendengar kes biasa.
“Pindaan pada akta dan ordinan boleh membawa perlindungan kepada pekerja kedua dua negeri itu seperti di Semenanjung.
“Jawatankuasan berkaitan membincangkan segala isu berkaitan pekerjaan sedang menguruskan pindaan pada akta-akta yang ketinggalan zaman selain mengendalikan cara mengutamakan pekerja tempatan di sektor majikan berbanding pekerja luar yang kini sudah dihentikan menerusi Kementerian Dalam Negeri.
“Pekerja tempatan akan wajib diberi keutamaan majikan kita di sini,” katanya.
Beliau dalam perkembangan sama menegaskan draf akhir berkaitan pindaan kepada Akta Pekerjaan 1955, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 sedang diteliti oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan ke Parlimen kemudian.- MalaysiaGazette