Beberapa pelancong berjalan menggunakan topi berikutan cuaca panas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR Malaysia dijangka mengalami musim kering sehingga Mei ini dengan Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pahang dan Kelantan akan merekodkan hujan kurang daripada 25% purata hujan tahunan bagi tempoh April-Mei ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar berkata, situasi itu akan menyebabkan keadaan panas dan kering serta mengurangkan sumber air sungai dan empangan di negeri terbabit.

Setakat ini, dua lokasi tidak menerima hujan selama lebih 30 hari, iaitu Hulu Perak di Perak (56 hari, tahap amaran) dan Setiu, Terengganu (31 hari, waspada), katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya 7 lokasi menerima hujan kumulatif lebih rendah berbanding rekod hujan semasa fenomena El Nino (2015-2016) atau pada tahap bahaya bagi tempoh Januari-Mac, iaitu Padang Terap (Kedah), Cameron Highlands dan Kuantan (Pahang), serta Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman dan Kuala Terengganu (Terengganu).

Dr Xavier berkata, 3 lembangan dijangka memerlukan tambahan bekalan air daripada empangan sedia ada, iaitu Lembangan Sungai Muda (Empangan Beris), Lembangan Sungai Kedah (Empangan Muda, Pedu dan Ahning), serta Lembangan Sungai Melaka (Empangan Jus).

Keadaan itu katanya, disebabkan aktiviti penanaman padi yang sedang giat dijalankan sehingga April ini.

“Jabatan Pengairan dan Saliran mencadangkan kepada pihak berkuasa negeri agar mengambil tindakan membuat pelepasan air secara terkawal daripada empangan terlibat,” katanya.

Mengenai storan empangan, Dr Xavier berkata, 3 empangan merekodkan storan kapasiti dalam lingkungan 50% iaitu Empangan Muda di Kedah (58.97%) serta 2 empangan di Johor, iaitu Machap (55.61%) dan Sembrong (54.07%).

Mengambil kira senario semasa, beliau menasihati agar penyaluran air kepada pengguna baik dari segi keperluan harian, industri dan pertanian, khususnya penanaman padi, perlu dikawal. – MalaysiaGazette