Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menadah tangan berdoa sebelum mengangkat sumpah sebagai ahli dewan rakyat pada persidangan Dewan Rakyat Parlimen di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 15 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR  –  Isu Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bukan satu masalah yang besar dan ia boleh diselesaikan secara baik.

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua ahli PAC boleh berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mencapai kesepakatan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menjelaskan, usaha perlu dilakukan yang turut melibatkan peranan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.

“Masalahnya kerana manifesto Pakatan Harapan (PH) terlalu jelas dan tidak kabur serta menjanjikan jawatan Pengerusi PAC khusus kepada ahli Parlimen pembangkang.

“Oleh itu kita perlu mencari jalan bagaimana kita boleh selesaikan lebih baik dan tugas Yang Dipertua, kalau perlu beliau hanya tanya pandangan serta nasihat Perdana Menteri,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Anwar yang juga Ketua Umum PH menambah, jawatan Pengerusi PAC itu bukan isu yang kompleks dan ia tidak begitu penting.

“Saya di dalam penjara ketika itu dan jika ingin memberi ganjaran kepada Ronald (Datuk Seri Ronald Kiandee), mungkin boleh memberi jawatan lain,” katanya.

Sabtu lalu, Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga anak Anwar, Nurul Izzah meletakkan jawatan sebagai ahli PAC setelah tidak bersetuju dengan kenyataan Mahathir yang mahu mengekalkan Ronald. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: