Tun Dr. Mahathir
Dr. Mahathir Mohamad

LANGKAWI – Malaysia tidak melancarkan perang perdagangan terhadap Kesatuan Eropah (EU) tetapi hanya memaklumkan kepada dunia tentang masalah dihadapi Malaysia berikutan keputusan blok itu untuk melarang penggunaan minyak sawit dalam biofuel, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, negara tidak mengisytiharkan perang perdagangan dengan EU apabila beliau menyatakan bahawa Malaysia akan melihat kepada negara lain untuk membeli jet pejuang, daripada membelinya daripada syarikat Eropah berikutan layanan tidak adil EU terhadap pengeluar minyak sawit.

“Apa yang saya lakukan, saya memberitahu dunia bahawa amat tidak adil untuk negara-negara kaya menghalang negara-negara miskin daripada menjadi lebih kaya dengan tidak membeli produk mereka. Itu sahaja. Ia bukan (mengisytiharkan) perang perdagangan,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita pada taklimat yang diadakan bersempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) hari ini.

Ditanya mengenai hubungan Malaysia-Afrika, beliau berkata perkembangan negara agak perlahan dari segi memupuk hubungan dengan negara-negara Afrika selepas beliau berundur daripada jawatan sebagai perdana menteri sebelum ini, dan adalah amat mencabar untuk beliau meningkatkan hubungan berikutan beliau mempunyai masa yang terhad.

“Saya memberi tumpuan untuk membina hubungan baik dengan negara-negara Afrika. Negara-negara Afrika amat kaya (dan) sebab itu kenapa orang Eropah pergi ke sana dan masih pergi ke sana.

“Sekarang saya menjadi perdana menteri semula, saya ingin melakukan perkara sama. Satu-satunya masalah adalah saya mempunyai tempoh masa yang singkat dan saya terpaksa pulun melaksanakan kerja untuk tempoh 10 tahun dalam masa dua tahun sahaja. Jadi, ia agak sukar,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, terdapat banyak pihak memohon untuk melabur di Malaysia tetapi kerajaan perlu membuat tapisan agar hanya pelaburan berkualiti diluluskan.

“Kami perlu melihat pelbagai aspek kerana kami tidak mahu timbul masalah di kemudian hari,”katanya.

LIMA’19 diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri dan Resorts World Langkawi akan berakhir pada 30 Mac. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast