KUALA LUMPUR – Matlamat dasar fiskal pada 2019 ialah mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan, melalui konsolidasi fiskal secara beransur-ansur, mengurangkan hutang dan liabiliti serta menggalakkan ekonomi yang inklusif, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam Laporan Tahunan 2018 yang dikeluarkan hari ini, BNM berkata rancangan fiskal jangka sederhana menggariskan haluan konsolidasi dengan baki fiskal disasarkan pada -3.4 peratus dan -3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), masing-masing untuk 2019 dan 2020.

“Haluan konsolidasi fiskal akan disokong oleh pelbagai inisiatif pembaharuan fiskal,” katanya.

Antara inisiatif yang diambil ialah kerajaan komited untuk meningkatkan keberkesanan perbelanjaan dalam sektor awam melalui pelaksanaan sistem belanjawan berasaskan sifar dan pengumuman Akta Perolehan Kerajaan.

“Selain itu, keutamaan turut diberikan terhadap usaha mempelbagaikan dan memperluas asas hasil. Jawatankuasa Pembaharuan Cukai yang ditubuhkan untuk menjalankan kajian semula terhadap sistem percukaian secara menyeluruh telah mencadangkan pelbagai strategi dalam Belanjawan 2019,” katanya.

BNM berkata bagi menggalakkan pengurusan hutang secara holistik dan telus, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Hutang dan Liabiliti, mengumumkan pembentukan Pejabat Pengurusan Hutang serta akan melaksanakan kaedah perakaunan akruan.

Melangkah ke hadapan, katanya kerajaan akan terus komited untuk memastikan kelestarian fiskal dan rangka kerja tadbir urus yang lebih kukuh melalui pelaksanaan pembaharuan fiskal secara holistik.

“Jawatankuasa Dasar Fiskal dan Jawatankuasa Kewangan Awam telah ditugaskan untuk menilai dan menyeimbangkan antara obligasi pengurusan fiskal yang berhemah dengan usaha memastikan perbelanjaan dan pelaburan yang berkesan untuk pertumbuhan ekonomi.

“Akta Tanggungjawab Fiskal yang akan diperkenalkan pada 2021 akan memperkasakan disiplin fiskal, mengukuhkan tadbir urus dan akauntabiliti serta menggalakkan tahap ketelusan yang lebih tinggi,” katanya.- BERNAMA

https://youtu.be/DqpW7BairL0