KUALA LUMPUR – Karya atau kandungan kreatif filem tempatan perlu mempunyai identiti tersendiri yang lebih menggambarkan ‘wajah’ Malaysia kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Beliau berkata penekanan kepada aspek identiti itu adalah penting bagi memboleh membolehkan industri berkenaan mampu bersaing dan lebih membangun serta mampu melangkah ke satu tahap yang lebih tinggi termasuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Sekurang-kurangnya kita ada satu hala tuju tentang wajah filem kita. Selama ini, kita hanya ada dari sudut pengarah, penulis skrip, pembikin dan penerbit filem yang tafsir sendiri bagaimana gambaran ‘wajah’ filem yang ingin dihasilkan.

“Tapi kita tidak pernah duduk dan berbincang tentang bagaimana seharusnya wajah filem tempatan itu. Contohnya di luar negara, Malaysia terkenal sebagai sebuah negara berbilang kaum …kita hidup secara majmuk dengan pelbagai etnik tapi semua ini tiada di dalam filem kita,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Idham ditemui selepas merasmikan Kongres Kebangsaan Industri Filem dan Kandungan Kreatif Malaysia anjuran Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dengan sokongan FINAS di sini hari ini.

Kongres dua hari bermula hari ini dengan penglibatan 200 peserta di kalangan penggiat industri dan ahli akademik itu antaranya membincangkan idea-idea pembangunan industri filem dan profesionalisme karyawan serta produksi.

Mengulas lanjut, Ahmad Idham berkata menerusi kongres yang julung kali diadakan itu akan membawa kepada satu resolusi tentang dasar, tindakan dan amalan yang sesuai dengan perkembangan semasa serta kemajuan industri berkenaan.

“Kongres ini mengumpul semua pihak daripada ahli akademik, persatuan, pengarah, pembikin filem… mereka duduk dan buat keputusan berkenaan hal-hal industri antaranya mengenai identiti filem Malaysia. Kemudian resolusi mereka itu dibawa kepada FINAS untuk diutarakan ke peringkat kementerian.

“Sebab kenapa identiti filem Malaysia antara yang perlu difikirkan penggiat industri ialah kerana kita nak bawa filem kita ke luar negara tapi kita masih belum nyata identitinya. Orang luar nak tengok filem yang berwajah Malaysia, bukan adaptasi dan sebagainya.

“Sekarang kita baru di tahap berjaya sertai festival filem di luar negara tapi filem Malaysia belum masuk ke negara luar atas permintaan mereka untuk ditayangkan di pawagam mereka seterusnya ada hasil kutipan melalui filem kita di sana,” tambahnya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast