Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran (kanan) pada Sidang Media Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pejabat BN, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 08 MAC 2019

KUALA LUMPUR – MCA memilih untuk tetap berada dalam Barisan Nasional (BN) kerana UMNO telah bersetuju untuk mengubah struktur parti itu.

Nanyang Siang Pau melaporkan, di bawah perubahan tersebut, MCA akan kembali menjadi Setiausaha Agung BN seperti pada zaman Perikatan.

Menurut akhbar itu lagi, sebuah lagi parti komponen iaitu MIC pula akan memegang jawatan Bendahari Agung BN.

Sumber boleh dipercayai berkata, ia merupakan hasil perundingan peringkat awal dan pemimpin BN belum berbincang tentang pengagihan jawatan peringkat negeri.

Sumber MCA juga memberitahu, MCA tidak berdaya untuk berjuang bersendirian dan parti itu sebelum ini berharap BN dibubarkan untuk memberi laluan kepada satu parti baharu yang juga dianggotai UMNO, MCA dan MIC.

“Dalam mesyuarat yang diadakan, pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan beliau tidak mungkin bersetuju dengan pembubaran BN kerana ada risiko pendaftaran UMNO digantung.

“Jika UMNO digantung dan BN telah dibubarkan, maka ahli UMNO mungkin kehilangan UMNO dan BN secara serentak,” katanya.

Menurut sumber MCA lagi, pihak parti akan menjelajah ke seluruh negara untuk memberi penjelasan tentang keputusan untuk terus berada dalam BN. – MalaysiaGazette