KUALA LUMPUR – Mohd Apandi Mohamad adalah pemimpin yang sesuai dan layak menggantikan Datuk Seri Mustapa Mohamed di Parlimen Jeli untuk berkhidmat kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Yang Dipertua Pas Jeli itu yang pernah menang pada PRU ke-10 tahun 1999 mula mendapat perhatian rakyat sejak Mustapa menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Penulis veteran Pas, Subky Latif berkata, Mustapa yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Pa tidak lagi diterima sebahagian besar rakyat dan ahli UMNO Jeli kerana tindakan terburu-buru meninggalkan parti itu.
“UMNO kecewa dengan dia dan UMNO yang hilang kuasa kini bertindak bekerjasama dengan Pas. Kerjasama ini boleh mengubah landskap politik bukan sahaja di Malaysia, bahkan di Jeli.
“Tok Pa bawa sebahagian pengikutnya untuk diserahkan kepada Tun Dr. Mahthir Mohamad selaku Pengerusi PPBM, tetapi ia tidak cukup untuk melumpuhkan UMNO.
“Sejak kerjasama Pas-UMNO termeterai, Tok Pa tidak pernah lagi dianggap ada di Jeli,” katanya yang dipetik Harakahdaily hari ini.
Menurut Subky, beliau pernah bertanya hal itu kepada Mohd Apandi dan menyatakan kesediaannya mengambil tempat yang ditinggalkan Tok Pa.
Katanya, beliau akan mengesyorkan kepada kepimpinan Pas Pusat dan Kelantan agar tidak meletakkan Mohd Apandi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU 15 akan datang, sebaliknya bertanding di peringkat Parlimen.
“Biar orang lain jadi Menteri Besar atau Exco Kelantan. Mohd Apandi calonkan di Parlimen Jeli. Bukan sekadar untuk ganti Tok Pa sebagai Ahli Parlimen Jeli tetapi menggantinya dalam kabinet persekutuan.
“Biar Ahli Parlimen Jeli (jika Mohd Apandi menang) jadi Menteri MITI. Jika Apandi juga jadi menteri, penduduk Jeli tidak terasa tertinggal dengan ketiadaan Tok Pa.
“Saya percaya, jika tidak jadi menteri pun, Mohd Apandi berupaya mendapatkan sokongan kerajaan negeri dan kerajaan pusat untuk melipatgandakan pembangunan dan kemajuan penduduk Jeli,” tulis beliau.
Katanya, walaupun tidak menjadi menteri selama ini pun, tiada dunia dan negara luar yang tidak dikunjungi Mohd Apandi selaku pemimpin Pas.
“Sebut saja apa negara, Mohd Apandi sudah pergi ke situ dan dengan apa yang dijumpanya di setiap negeri atas angin itu tentu ada yang boleh dibawa pulang bagi melengkapkan prasarana Jeli.
“Apa lagi kalau dia jadi menteri. Apa yang Tok Pa tidak dapat bawa ke Jeli, Mohd Apandi akan bawa ke Jeli,” katanya.
Ujar beliau, mungkin Kelantan dan UMNO yang mengharapkan pimpinan Tok Pa kecewa dengan tindakannya melarikan diri dan parti dan perjuangan, tetapi ketiadaannya mungkin rahmat bagi Kelantan.
Katanya, ketika dia jadi menteri dahulu pun, Tok Pa gagal untuk berjuang dan membawa pulang nikmat minyak ke Kelantan.
“Bahkan, ketika rakyat Kelantan menuntut royalti, Tok Pa kata Kelanan tidak ada hak.
“Rupanya dia bukan pejuang. Seelok UMNO kalah di Putrajaya, tidak tinggalkan UMNO Kelantan,” katanya. – MalaysiaGazette