KWSP

KUALA LUMPUR -Sebanyak RM117.56 bilion telah disalurkan kepada pengurus portfolio luaran oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat 31 Disember 2018.

Angka itu meningkat sebanyak 2.62 peratus berbanding RM114.56 bilion pada 2017.

Jumlah peruntukan yang dilaburkan ke dalam ekuiti dan instrumen pendapatan pelaburan tetap mewakili 14.10 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman berkata, KWSP akan terus menyalurkan sebahagian daripada dana sebagai antara inisiatif diversifikasi selain menguruskan prestasi aset dengan lebih baik.

Bermula tahun ini, sebuah jabatan baharu di KWSP, iaitu Jabatan Pengurusan Pengurus Dana Luar, akan menyelaraskan pengurusan dana luaran yang meliputi kelas aset ekuiti dan instrumen pendapatan tetap selain berpeluang menyelami ilmu, kemahiran dan pengalaman pengurus dana luaran sebagai langkah yang boleh memberikan pulangan yang
mampan dan nilai tambah dalam jangka panjang.

Samsudin berkata, penstrukturan tersebut boleh memberikan kejelasan terhadap aktiviti pengurusan dana luaran KWSP sekaligus menjadikan proses pemantauan prestasi, komunikasi dan pelaksanaan strategi pelaburan KWSP lebih berkesan, selaras dengan prinsip pelaburan utama KWSP untuk menjana risiko-pulangan terlaras untuk jangka
panjang.

“KWSP menetapkan piawaian yang tinggi ke atas prestasi dana dan kami ingin menyampaikan setinggi penghargaan kepada semua pengurus dana yang telah berusaha dalam meyumbang kepada prestasi cemerlang KWSP tahun lepas dan selanjutnya, kepada kesejahteraan jutaan ahli kami,” katanya pada Majlis Anugerah Tahunan Pengurus Portfolio Luaran 2019 di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette