Ahli Parlimen Bera merangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan bahawa gabungan itu memboikot mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang diadakan semalam.

Ini kerana ketiga-tiga wakil pembangkang dalam PAC sudah meletakkan jawatan masing-masing kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal memberikan jawatan pengerusi daripada pembangkang.

“Semua wakil dari pembangkang tidak menghadiri mesyuarat semalam, maknanya dari segi peletakan jawatan itu sudah nampak kerana mereka tidak hadir.

“Tapi dari segi rasminya, surat peletakan jawatan itu saya tidak maklum,” katanya ketika ditemui media di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Pada Isnin lalu, dua Ahli Parlimen BN iaitu Datuk Noraini Ahmad (Ahli Parlimen Parit Sulong-BN) dan Datuk Seri Ahmad Hamzah (Ahli Parlimen Jasin-BN) dan seorang daripada Pas, Datuk Takiyuddin Hassan (Ahli Parlimen Kota Bharu-Pas) bertindak melepaskan jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta.

Sebelum ini, PH dalam janji 16 yang termaktub dalam Manifesto PH, jawatan Pengerusi PAC dikhaskan untuk Ahli Parlimen pembangkang dan disebabkan itu, selepas PRU14, kerajaan melantik Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang ketika itu Ahli Parlimen UMNO.

Kiandee bagaimanapun keluar UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 14 Mac lalu.

Dalam pada itu, Ismail turut menafikan bahawa perletakan jawatan ketiga-tiga wakil pembangkang itu adalah tidak sah.

“Bukan tak rasmi bila ketiga-tiga mereka tak hadir mesyuarat, kira dah letak jawatanlah tu. Kalau ada yang pergi tak letaklah,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast